KUCHING: Starbucks Malaysia melakar satu lagi kejayaan dengan melancarkan cawangannya di Vivacity Megamall di sini yang menggunakan bahasa isyarat sebagai cara untuk berkomunikasi.

Didedikasikan bagi menawarkan peluang pekerjaan dan pembangunan kepada orang kelainan upaya pendengaran serta memupuk hubungan bermakna di antara rakan kongsi dan pelanggan, ia merupakan "cawangan bahasa isyarat" yang pertama rangkaian kopi itu di wilayah Borneo dan yang ketiga selepas di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Food Bhd dan Pengarah Urusan Berjaya Starbucks Coffee Datuk Sydney Quays berkata syarikat itu berhasrat untuk mengembangkan inisiatif tersebut di setiap negeri.

"Selain menyediakan pekerjaan kepada komuniti (masalah pendengaran), kami juga berhasrat untuk meluaskan kesedaran orang ramai dan membina keyakinan dalam kalangan mereka kerana kadang-kadang mereka malu untuk melangkah ke hadapan kerana ketidakupayaan itu," katanya pada sidang media selepas pelancaran cawangan itu yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Sokongan dan komitmen daripada kerajaan negeri dan Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak (SSD) telah memudahkan proses untuk membuka cawangan itu di sini, katanya.

Quays juga berkata Starbucks Malaysia juga bekerjasama dengan SSD untuk menyediakan perkhidmatan profesional mentafsir bahasa isyarat Malaysia dan menganjurkan aktiviti-aktiviti di cawangan itu.

Beliau berkata ini akan menyediakan platform untuk komuniti berkumpul dan saling berhubung di antara satu sama lain. Ia juga telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan sejak prapelancarannya pada 27 Julai.

Rangkaian kopi itu setakat ini telah mengambil 20 kakitangan masalah pendengaran untuk tiga "cawangan bahasa isyarat" dengan lapan daripadanya adalah di cawangan Vivacity Megamall.

Terdahulu, Fatimah dalam ucapan perasmiannya berkata cawangan itu "memperkasakan" komuniti masalah pendengaran dan bersyukur kerana badan korporat seperti Starbucks Malaysia "penuh bersemangat dengan kerajaan negeri bagi melakukan perubahan kepada masyarakat."

-- BERNAMA