STELLA McCartney menandatangani kontrak dengan syarikat konglomerat mewah Moët Hennessy Louis Vuitton (LVMH), tidak lama selepas mengakhiri perkongsian 17 tahunnya dengan syarikat pesaing, Kering.

Keputusan LVMH untuk berkolaborasi bersama pereka fesyen itu adalah sebahagian daripada rancangan syarikat bagi mempercepatkan sokongan terhadap kemampanan dan kerjasama dengan Unesco.

Walaupun butiran tepat mengenai gabungan itu masih dirahsiakan sehingga September, lapor portal Elle.com bahawa McCartney akan kekal sebagai pemegang saham majoriti syarikatnya dan akan terus menjadi pengarah kreatif, menyelia pakaian lelaki, pakaian wanita dan pakaian kanak-kanak.

Tahun lalu, McCartney mengumumkan bahawa beliau akan mengakhiri perkongsian 17 tahun dengan Kering dengan membeli kembali 50 peratus saham yang telah dijual kepada mereka.

Dalam satu temu bual minggu lalu, pereka itu berkata beliau telah menemui pembelian jaminan yang ‘menghidupkan semula’ jenamanya.

"Saya lakukan (perkongsian) untuk melindungi nama saya, sejarah saya - ia adalah sejenis warisan keluarga dan kesinambungan jenama," katanya.

Pereka ini jelas akan mendapat banyak faedah dalam perkongsiannya bersama LVMH, yang juga pemilik jenama seperti Dior, Givenchy dan Louis Vuitton serta baru-baru ini memperoleh label mewah milik penyanyi Rihanna, iaitu Fenty.

Dalam satu kenyataan mengenai perjanjian itu, McCartney menjelaskan mengapa beliau memilih syarikat tersebut walaupun didekati oleh pelbagai pihak yang berminat.

"Tidak ada yang sepadan berbanding perbualan (saya dengan LVMH).

"Semangat dan komitmen yang mereka nyatakan kepada jenama Stella McCartney bersama kepercayaan mereka terhadap cita-cita dan nilai-nilai kami sebagai peneraju global dalam fesyen adalah sangat mengagumkan," katanya.

Pengambilalihan LVMH terhadap Stella McCartney akan dilihat sebagai komitmen berterusan dalam industri fesyen, ia juga bakal membantu membina lebih banyak rantaian bekalan yang mampan.