Menurut Ketua Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, sektor-sektor yang bergantung kepada pasaran AS berisiko terjejas, dengan kemungkinan kesan negatif terhadap ekonomi negara.
Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah segera dan strategik untuk mengurangkan kesan ini dan memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara.
Berikut adalah beberapa langkah kritikal yang perlu diambil oleh kerajaan untuk menangani kesan tarif ini dan memastikan ekonomi negara terus berkembang:
1) Komunikasi jelas kepada rakyat dan peniaga
Kerajaan perlu menyediakan pelan yang jelas serta komunikasi terbuka kepada rakyat dan peniaga mengenai langkah-langkah yang diambil dalam menghadapi cabaran tarif ini.
"Dengan penerangan yang telus, rakyat dan peniaga akan lebih memahami keputusan kerajaan dan langkah-langkah untuk mengelakkan sebarang kenaikan tarif yang akan memberi impak langsung kepada harga barangan", kata Afzanizam.
Kata beliau, pendekatan ini bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh peniaga dan pengguna di Malaysia.
2) Sidang Parlimen 5 Mei: Harapan untuk pengumuman dasar-dasar utama
Sidang Parlimen pada 5 Mei 2025 memberi peluang bagi kerajaan untuk mengumumkan langkah-langkah khusus dalam menangani impak tarif.
Katanya, antara langkah yang diharapkan adalah geran, subsidi, dan bantuan kewangan kepada pengeksport yang terkesan.
"Dasar fiskal dan monetari juga dijangka diperkemas, termasuk pengecualian cukai dan bantuan kewangan kepada syarikat yang terlibat dalam sektor eksport", tambahnya.
3) Rundingan dengan AS dalam tempoh 90 Hari
Rundingan dengan AS yang dijalankan dalam tempoh 90 hari adalah penting untuk mengurangkan kadar tarif yang dikenakan.
Kadar tarif 24 peratus yang dikenakan kini jauh lebih tinggi berbanding kadar 5.6 peratus yang dikenakan kepada negara lain.
Afzanizam berkata, mengurangkan kadar tarif ini akan mengurangkan impak ekonomi yang lebih besar.
Selain itu, halangan bukan tarif, seperti pensijilan halal dan masalah dalam sektor automotif, juga perlu ditangani agar hubungan perdagangan antara kedua negara dapat dipertingkatkan.
4) Mempercepatkan perbelanjaan kerajaan untuk menangani kesan tarif
Sementara itu, perbelanjaan kerajaan yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025, dengan jumlah RM421 bilion, perlu dipercepatkan untuk merancakkan ekonomi negara.
Program-program berbentuk tunai atau bantuan langsung harus dilaksanakan segera bagi memberi suntikan kepada sektor-sektor yang terjejas akibat tarif ini.
Langkah ini akan membantu mengurangkan kesan ekonomi dan meningkatkan aktiviti ekonomi domestik yang terjejas akibat perubahan tarif.
Beliau berkongsi pandangan dalam program Niaga AWANI pada Isnin.
