KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar Amerika menerusi terbitan bertempoh matang 10 tahun dengan jumlah AS$800 juta.

Di samping itu, kerajaan juga menerbitkan sukuk bertempoh matang 30 tahun berjumlah AS$500 juta.

Kedua-dua tranche tersebut telah mendapat penarafan A3 oleh Moody's Investors Service dan A- oleh S&P Global Ratings.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, keyakinan pelabur dicerminkan melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali.

Berikutan permintaan yang amat menggalakkan, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan saiz terbitan asal daripada AS$1.0 bilion kepada AS$1.3 bilion.

Terbitan Sukuk Kelestarian Malaysia dalam dolar Amerika merupakan sukuk pertama di dunia yang diterbitkan oleh sesebuah negara di mana terimaan terbitan akan disalurkan kepada projek sosial dan mesra alam Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sukuk ini juga unik kerana aset sandarannya adalah aset lestari iaitu baucar yang mewakili hak perjalanan rangkaian pengangkutan awam LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan KL Monorail.

Ia merupakan terbitan berdaulat pertama yang menggunakan aset sandaran seumpama ini, lantas menjadi penanda aras baharu selain menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global, serta memperkukuh kedudukan negara sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.

Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata “Kami berasa amat sukacita dan berbesar hati dengan keyakinan pelabur atas terbitan sulung Sukuk Kelestarian yang menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia dan prospek pertumbuhan yang kukuh.

"Terbitan ini bukan sahaja mengungguli pelbagai aspek malah merupakan sebuah pengiktirafan yang tinggi ke atas keupayaan inovatif industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan polisi berpaksikan SDG untuk mencapai sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”