Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) melahirkan kebimbangan mengenai status penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor berikutan tarikh akhir pengambilalihan itu semakin suntuk dan akan berakhir 13 September ini.

Pengerusi Eksekutif SYABAS, Tan Sri Rozali Ismail, berkata, Kerajaan Selangor perlu menyelesaikan segera penstrukturan semula itu bagi mengelak sebarang gangguan kepada industri bekalan air di negeri itu.

"Kita sama-sama berdoa dan berharap kerajaan negeri dapat selesaikan sebelum 13 September supaya niat dan juga matlamat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dan syarikat Puncak Niaga Holdings Berhad untuk menyerahkan pengendalian pengurusan air dan loji-loji yang ditadbir oleh Puncak Niaga dan SYABAS ini dapat diserahkan kepada anak syarikat kerajaan negeri," katanya pada sidang media Penstrukturan Semula Air Selangor di Connexion @ Nexus Bangsar South City, hari ini.

Sekiranya pengambilalihan berlaku, Rozali berharap cadangan supaya program-program peningkatan kapasiti bekalan air secara berperingkat bagi rizab bekalan air dilaksanakan supaya bekalan air pada tahun 2019 nanti dapat mencapai tahap 25 peratus.

Ia bagi memastikan penyaluran bekalan air terawat sentiasa berterusan kepada pengguna dengan risiko gangguan bekalan air yang minima.

Selain itu, beliau juga mengemukakan pelan perancangan induk untuk lima tahun (2015 hingga 2019) yang memberi fokus kepada pelan pembangunan dan penambahbaikan insfrastruktur bekalan air, memudahkan proses pentadbiran dan lain-lain fokus untuk ditingkatkan.

Aspek pertama adalah mengurangkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) dengan penjimatan air terawat sebanyak 300 juta liter sehari (JLH).

Kedua, meningkatkan dan menambah baik mutu perkhidmatan kepada pengguna seperti meningkatkan kapasiti pusat terima panggilan dari pengguna.

Seterusnya, menaiktaraf dan menambahbaik sistem teknologi maklumat dan komunikasi bersepadu bagi memperbaharui proses kerja dan konsep perkhidmatan menerusi aplikasi teknologi terkini dalam semua aspek operasi.

Aspek keempat ialah penambahbaikan persekitaran dan kemudahan tempat kerja secara berperingkat dan yang terakhir ialah melibatkan proses berterusan jaminan kualiti air terawat.

Kelima-lima pelan berkenaan memerlukan kos sebanyak RM4.3 bilion.