[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
BISNES

Syarikat Malaysia peroleh jualan RM125 juta di Afrika - MATRADE

Bernama 08/09/2025 | 21:00 MYT
Reezal Merican berkata, inisiatif itu membentuk bahagian penting dalam strategi kepelbagaian pasaran kerajaan untuk mengembangkan jejak eksport Malaysia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat dari Malaysia memperoleh jualan bernilai lebih RM125 juta termasuk RM13.6 juta dalam urus niaga disahkan semasa Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Afrika Selatan dan Kenya dari 1 hingga 5 September, 2025.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama SME Bank Malaysia menganjurkan misi tersebut.

MATRADE dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, 13 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor mengambil bahagian, mengadakan 240 sesi padanan perniagaan, merekodkan 128 pembeli Afrika Selatan dan Kenya.

"13 syarikat Malaysia itu mewakili sektor utama dengan potensi eksport yang tinggi termasuk peranti dan peralatan perubatan, farmaseutikal, kosmetik dan produk kecantikan serta makanan dan minuman halal," katanya.

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif itu membentuk bahagian penting dalam strategi kepelbagaian pasaran kerajaan untuk mengembangkan jejak eksport Malaysia, mengiktiraf potensi ekonomi Afrika dan peranannya sebagai pasaran pesat membangun yang penting.

"Prestasi kukuh syarikat kita (Malaysia) adalah bukti permintaan untuk produk dan perkhidmatan Malaysia berkualiti di Afrika.

"MATRADE bersama SME Bank, komited untuk mewujudkan platform penting ini untuk syarikat Malaysia, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) bagi mendapatkan peluang baharu dan mengembangkan jejak global mereka," katanya.

Beliau berkata, Afrika dengan penduduk berjumlah 1.5 bilion, menawarkan potensi besar dan misi itu menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan perdagangan dan kehadiran ekonomi Malaysia di benua itu.

MATRADE berkata, misi itu juga termasuk pertemuan dengan agensi kerajaan Afrika Selatan dan Kenya serta pelbagai dewan perdagangan seperti Jabatan Perdagangan, Industri dan Persaingan (DTIC), Dewan Perdagangan dan Industri Afrika Selatan (SACCI) dan Business Unity South Africa (BUSA).

Dari Januari hingga Julai 2025, jumlah perdagangan Malaysia dengan Afrika Selatan bernilai RM3.24 bilion, eksport berjumlah RM1.87 bilion dan import RM1.37 bilion.

Bagi tempoh sama, perdagangan dengan Kenya mencecah RM3.26 bilion, merangkumi eksport berjumlah RM3.24 bilion manakala RM30 juta untuk import, kata MATRADE.

-- BERNAMA





#Matrade #minuman halal #agensi kerajaan #hubungan perdagangan