PETALING JAYA:Lembaga Tabung Haji (TH) akan membeli sebuah menara pejabat 20 tingkat yang dikenali sebagai Menara VSQ1, di sini daripada Bukit Damansara Development Sdn Bhd pada harga RM147 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, pulangan terbaharu itu dijangka memberi pulangan sebanyak 5.5 peratus berdasarkan perjanjian penghunian penuh dan penyewaan jangka panjang bangunan.

"Seperti semua sedia maklum, ini adalah pulangan yang kompetitif berbanding dengan pasaran tunai dan aset pendapatan tetap yang memberi pulangan sekitar dua hingga empat peratus pada masa kini.

"TH sentiasa komited untuk memberikan kerjasama dan perkhidmatan yang terbaik daripada para penyewa dan berharap QSR Brands akan terus berada di bangunan ini untuk tempoh yang lama," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Tawaran Pembelian Menara VSQ1, di sini pada Isnin.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Pengerusi TH, Tan Sri  Md Nor Md Yusuf; dan Presiden  dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

Beliau berkata TH giat melabur dalam pasaran hartanah dalam dan luar negara sebagai langkah mempelbagai portfolio pelaburan dalam rangka Alokasi Aset Strategik (SAA) bagi mendapat manfaat daripada kenaikan modal dan menikmati pulangan stabil untuk jangka masa panjang.

"TH akan terus mencari peluang di dalam membuat pelaburan secara langsung atau tidak langsung bagi menambah portfolio hartanah yang dapat memberikan pendapatan berulang dan stabil.

"Ia sekali gus memberi pulangan yang mampan kepada sembilan juta pendeposit TH," ujarnya lagi.

Menara yang dibina di atas tanah berkeluasan 2.58 ekar itu turut dilengkapi dengan 1,060 tempat letak kereta, dan ia mula siap dibina pada September 2012.