KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM1.52 bilion bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM1.55 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

Walaupun, mencatat penurunan 1%, pencapaian ini mencerminkan ketahanan Tabung Haji menangani kelembapan ekonomi dan perniagaan yang sukar pada masa ini.

Menurut Tabung Haji, sebahagian besar pendapatannya diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM942.6 juta dalam tempoh tersebut merangkumi 62% daripada jumlah pendapatan kasarnya.

Katanya, pelaburan saham turut menyumbang RM219.9 juta untuk separuh pertama ini, mencatatkan peningkatan berbanding RM184.2 juta pada tempoh sama 2020.

"Pelaburan ekuiti menyumbang 14% daripada jumlah keseluruhan pendapatan manakala pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM174.7 juta, diikuti pelaburan pasaran wang dengan pendapatan RM161.8 juta," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Setelah mengambil kira perbelanjaan serta peruntukan zakat, Tabung Haji mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.22 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sehingga 30 Jun 2021, penurunan 2% berbanding RM1.25 bilion dalam tempoh sama pada 2020.

"Antara faktor yang menyebabkan penurunan keuntungan adalah menerusi pelaburan harta tanah berikutan keadaan pasaran mencabar akibat pandemik COVID-19 di seluruh dunia," jelasnya.

Kedudukan kewangan Tabung Haji bagaimanapun terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM85.92 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM83.73 bilion pada 30 Jun 2021.

Jumlah kos operasi juga hampir sama dengan kos pada tahun lalu, hasil daripada langkah pengurusan berhemah walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

"Tabung Haji sentiasa mengambil langkah untuk mengoptimumkan perbelanjaan bagi memastikan pengurusan kos yang cekap," katanya.

Pada 30 Jun 2021, Tabung Haji merekodkan deposit sebanyak RM81.14 bilion, iaitu paras tertinggi sejak penubuhannya, 58 tahun lalu manakala pendepositnya pula berjumlah 8.3 juta.


*Berita asal di DagangNews.com