BISNES
Taiwan Expo 2025 penghubung produk Taipei, keperluan Malaysia - TAITRA
Brian Lee (tengah) ketika hadir pada acara Pavilion Kecemerlangan Taiwan yang diadakan sempena Taiwan Expo 2025, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), 23 Jun 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pavilion Kecemerlangan Taiwan acara Taiwan Expo 2025 menjadi platform menghubungkan inovasi utama negara itu dengan bidang pertumbuhan utama Malaysia, khususnya dalam usaha transformasi digital dan industri hijau.
Pengarah Eksekutif Pemasaran Strategik Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) Brian Lee berkata pavilion itu mengetengahkan lebih daripada 40 produk buatan Taiwan terpilih yang mewakili 27 syarikat pemenang anugerah, merangkumi teknologi pintar dan hijau selain penyelesaian kehidupan sihat -- bidang yang relevan dengan keperluan semasa Malaysia.
"Kami mahu rakan di Malaysia tahu bahawa produk Taiwan bukan setakat berkualiti tetapi juga amat inovatif serta mempunyai rekaan yang baik.
"Selain itu, kami juga sempat bertemu dengan banyak rakan yang berhasrat membawa masuk produk Taiwan ke Malaysia, khususnya membabitkan bidang teknologi dan maklumat, penjagaan kesihatan dan makanan," katanya kepada pemberita di Pavilion Kecemerlangan Taiwan itu di sini, semalam.
Selain itu, Lee berkata acara promosi di Plaza Low Yat di sini baru-baru ini, turut mendapat sambutan positif yang disifatkan beliau sebagai paparan penghargaan pengguna Malaysia terhadap produk inovatif Taiwan.
"Malaysia dan Taiwan adalah rakan hebat dan mempunyai hubungan dagang yang sentiasa berkembang. Pasaran Malaysia yang memberangsangkan dan semangat inovatif Taiwan sememangnya padanan yang tepat. Sewajarnya kedua-dua negara meneroka peluang baharu secara bersama," katanya.
Antara produk-produk inovatif yang ditampilkan pada pavilion itu adalah Hydrolight (penyelesaian kecantikan dan kulit); GHG (penyelesaian penjagaan kesihatan yang menumpukan alat bantuan pejalan kaki mekanikal); Hepty (alat pemadam api mudah alih); Systex (perkhidmatan pengkomputeran awan, analisis data, keselamatan siber dan pembangunan perisian) serta MCM (cecair pemotong berasaskan tumbuhan).
Pengurus jualan Goang Hann Enterprise Co Ltd Tim Ko memberitahu Bernama bahawa walaupun mempunyai kepakaran dalam pembuatan aluminium, syarikat itu baru-baru ini mengembangkan produk perubatan dengan membangunkan alat bantuan pejalan kaki mekanikal di bawah jenama GHG.
"Kami beralih kepada usaha bantuan mobiliti inovatif berikutan populasi yang semakin menua dan peningkatan permintaan bagi produk sokongan perubatan," katanya.
Goang Hann kini menawarkan produk siri GHG R1 dan R2 dengan produk siri U1 bakal dilancarkan pada suku keempat 2025 dan seterusnya siri H1 yang sedang dibangunkan.
"Ciri unik alat pejalan kaki kami termasuk sistem stereng roda hadapan bagi kawalan lebih baik dan roda belakang yang sepadan dengan kelajuan berjalan pengguna serta tetapan pada 0 darjah, 90 darjah dan 360 darjah," katanya.
Ko berkata syarikat itu kini dalam perbincangan dengan beberapa syarikat Malaysia bagi melantik pengedar tempatan.
Sementara itu, Lee berkata bahawa satu sesi pertukaran industri akan diadakan esok (24 Jun) yang menampilkan lebih 30 wakil perniagaan Malaysia daripada pelbagai industri dalam usaha memperkukuh peluang kerjasama dua hala.
-- BERNAMA