[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
BUSINESS

Tan Mei Phing CEO baharu Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB)

Malekah Aisyah 07/05/2025 | 06:15 MYT
Tan Mei Phing dilantik CEO baharu MyCEB berkuat kuasa 21 April 2025.
PUTRAJAYA: Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB) mengumumkan pelantikan Tan Mei Phing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 21 April 2025.
Dalam satu kenyataan, MyCEB berkata, pelantikan ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan MyCEB kerana beliau membawa bersama pengalaman luas dalam industri acara perniagaan diikuti rekod kejayaan yang terbukti dalam biro tersebut semasa mengambil alih peranan kepimpinan ketika organisasi itu terus mengembangkan pengaruh dan impaknya di pentas global.
Kata kenyataan itu, Tan akan menyelia perancangan strategik dan kewangan, serta pelaksanaan operasi inisiatif MyCEB bagi memastikan pertumbuhan berterusan biro tersebut selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama untuk acara perniagaan.
"Kepakaran beliau dalam acara perniagaan serta pengetahuan industri yang luas, meletakkan beliau sebagai pemimpin MyCEB bagi fasa seterusnya dengan keyakinan dan visi.
"Sepanjang 13 tahun beliau berkhidmat di MyCEB, Tan Mei Phing menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dan pemahaman mendalam tentang landskap Acara Perniagaan.
"Sebelum pelantikan ini, beliau berjaya mengurus beberapa bahagian utama sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif termasuk Fasilitasi Acara, Jualan, Pemasaran & Penjenamaan, Pembangunan Industri, Perhubungan Awam & Komunikasi, dan Intelijen Pemasaran," kata kenyataan itu.
Katanya lagi, pandangan strategik Tan dalam bidang-bidang ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan profil Malaysia sebagai pusat utama untuk acara dan persidangan perniagaan antarabangsa.
Kerjaya Tan yang terkemuka dalam sektor acara perniagaan, juga dikenali sebagai industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Acara (MICE), termasuk penglibatan signifikan dalam pelbagai persidangan antarabangsa besar dihoskan di Malaysia.
Beliau memulakan kerjayanya dengan sebuah Syarikat Pengurusan Destinasi (DMC) antarabangsa, di mana beliau memperoleh pengalaman berharga dalam pengurusan acara.
Pengalaman tersebut diperkukuhkan lagi menerusi peranannya sebagai Penganjur Persidangan Profesional (PCO), di mana beliau mengasah kemahiran dalam membida dan mengurus acara berskala besar sekali gus meneguhkan reputasinya sebagai seorang profesional berpengalaman dalam bidang berkenaan.
Sebagai CEO, Tan dijangka akan terus memacu misi MyCEB untuk meletakkan Malaysia sebagai pilihan utama untuk acara perniagaan global, memupuk kerjasama, inovasi, dan kecemerlangan dalam industri.
"Visi beliau untuk masa hadapan MyCEB bermula dengan komitmen untuk meningkatkan daya saing negara di pasaran global sambil memberikan nilai yang luar biasa kepada pihak berkepentingan," kata kenyataan itu lagi.
#MyCEB #CEO baharu #Tan Mei Phing #acara perniagaan