BISNES
Tarif 25 peratus: MITI komited teruskan rundingan konstruktif, adil dengan AS

MITI juga akan meneruskan rundingan dengan rakan sejawatannya di AS secara berhemah bagi menangani isu-isu yang masih belum diselesaikan, menjelaskan skop serta kesan pelaksanaan tarif tersebut.
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil maklum mengenai pengumuman terbaharu oleh Amerika Syarikat (AS) berhubung pelaksanaan tarif balas sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia ke AS, yang akan berkuat kuasa 1 Ogos depan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, Malaysia komited untuk terus menjalankan perbincangan secara konstruktif dengan AS ke arah mencapai satu perjanjian perdagangan yang seimbang, menyeluruh serta saling menguntungkan.
MITI juga akan meneruskan rundingan dengan rakan sejawatannya di AS secara berhemah bagi menangani isu-isu yang masih belum diselesaikan, menjelaskan skop serta kesan pelaksanaan tarif tersebut dan meneroka peluang untuk menyelesaikan rundingan secara tepat pada masanya.
"Usaha ini sedang giat dijalankan dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mencapai penyelesaian yang adil dan mampan bagi kedua-dua pihak."Walaupun Malaysia mengakui kebimbangan yang dibangkitkan oleh AS berhubung ketidakseimbangan perdagangan dan akses pasaran, kerajaan percaya bahawa pendekatan menerusi dialog dan penglibatan konstruktif adalah jalan terbaik ke hadapan.
"Malaysia menghargai hubungan ekonomi dan perdagangan jangka panjangnya dengan Amerika Syarikat serta mengiktiraf peranan penting perdagangan terbuka dan adil dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di kedua-dua negara," jelas kenyataan itu lagi.
Amerika Syarikat merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama negara, dengan jumlah dagangan pada tahun 2024 meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion.
Eksport Malaysia ke AS mencatatkan RM198.7 bilion, manakala import meningkat kepada RM126.3 bilion.
Malaysia berpandangan,langkah unilateral seperti ini berpotensi mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan, serta aliran pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Dalam masa sama, Malaysia kekal yakin bahawa penyelesaian bersama dapat dicapai demi menjaga kepentingan kedua-dua negara serta rakyatnya, di samping memastikan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi mampan.
Kerajaan pada masa ini, tegas MITI, komited untuk melindungi kepentingan perniagaan, pekerja dan pengguna tempatan serta akan mengambil segala langkah yang perlu bagi mengurangkan kesan daripada pelaksanaan langkah baharu ini.
Awal pagi tadi, Trump mengumumkan, Malaysia kini tersenarai antara negara yang akan dikenakan tarif import sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam siri tindakan perdagangan terhadap beberapa negara rakan dagang utama Washington.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik ke platform Truth Social, Trump mengumumkan, kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos, melibatkan barangan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan dengan kadar berbeza dikenakan ke atas negara lain.
Malaysia dikenakan kadar tetap 25 peratus, sama seperti Jepun dan Korea Selatan, manakala Kazakhstan turut menerima kadar sama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami