BUSINESS

Tarif AS: Beri tumpuan kepada visi AS merombak sistem ekonomi, perdagangan dunia - Penganalisis

Irfan Faruqi 10/04/2025 | 22:00 MYT
Sebuah kapal kargo penuh dengan kontena penghantaran dilihat di Pelabuhan Los Angeles ketika ketegangan perdagangan meningkat akibat tarif AS. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump merupakan kunci kepada visi ekonomi dan perdagangan yang lebih besar oleh kuasa besar dunia itu.


Ringkasan AI
  • Visi Ekonomi dan Perdagangan AS: Tarif ini adalah sebahagian daripada visi ekonomi dan perdagangan yang lebih besar oleh AS.
  • Tumpuan kepada Isu Sistemik: ASEAN dan Malaysia perlu memberi tumpuan kepada isu sistemik dalam ekonomi domestik mereka, bukan kepada idea radikal.
  • Kerjasama Kewangan: Kerjasama kewangan dalam ASEAN dan dengan rantau lain perlu ditingkatkan untuk memastikan kestabilan ekonomi domestik setiap negara.


Penganalisis berpandangan ASEAN dan Malaysia, khususnya, perlu beri tumpuan kepada isu sistemik berbanding tertumpu kepada idea radikal yang tidak memberikan keuntungan nyata.

Pakar Ekonomi dan Felo Kanan Pelawat Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Prof. Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram menggunakan idea pengenalan mata wang baharu untuk menandingi dolar Amerika sebagai contoh idea radikal yang hanya mempertajam bertembungan dengan White House dalam isu perdagangan.

“Contohnya, idea mata wang ASEAN atau mata wang Asia Timur. Hakikatnya, dolar Amerika mendominasi perdagangan maka idea mata wang baharu ini tidak wajar diteruskan. Kita telah saksikan Afrika Selatan dan Brazil mendesak idea untuk wujudkan mata wang BRICS, yang telah mengganggu fokus. Presiden Donald Trump sangat memusuhi BRICS kerana isu mata wang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.


Tarif AS: Beri tumpuan kepada visi AS merombak sistem ekonomi, perdagangan dunia - Penganalisis

Tambah Jomo, kerjasama kewangan untuk memastikan kestabilan kewangan ASEAN sebagai negara anggota dan blok perlu ditingkatkan. Bahkan kerjasama yang serupa perlu diluaskan dengan rantau-rantau lain.

Menurutnya, langkah ini bagi memastikan ekonomi domestik setiap negara berada dalam keadaan yang stabil meskipun berdepan dengan cabaran perdagangan. Pada masa yang sama, beliau menegaskan ketidakstabilan perdagangan tidak semestinya bermakna ketidakstabilan kewangan memandangkan tidak ada hubungan langsung antara kedua-dua faktor itu.

Dalam temu bual yang sama, Pengarah Negara Singapura Dezan Shira & Associates, David Stepat percaya langkah Amerika Syarikat yang mahu mengasingkan diri daripada amalan perdagangan global dan multilateralisme merupakan pilihan negara itu sendiri yang tidak semestinya memberi kesan besar kepada ekonomi untuk jangka masa panjang.

“Amerika Syarikat hanya menyumbang 14 hingga 15 peratus daripada perdagangan global. Jika mereka ingin mengeluarkan semua produk sendirian, mereka boleh lihat apa yang berlaku terhadap Korea Utara.

“Sekiranya Amerika Syarikat tidak mahu menjadi sebahagian daripada sistem perdagangan, itu pilihan mereka. Saya fikir ini hanya tindakan semberono, Trump akan berpatah balik. Sekiranya tidak, maka pentadbiran Amerika Syarikat berikutnya akan berbuat demikian,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menegaskan perdagangan perlu terus dirancakkan meskipun dalam suasana ekonomi semasa yang terganggu oleh pengumuman White House.

Untuk konteks, AS mengumumkan pelaksanaan tarif import kepada hampir semua negara dengan kadar asas 10 peratus, namun ia ditangguhkan untuk 90 hari bermula Rabu susulan arahan baharu Presiden Donald Trump.


Dialog Tiga Penjuru: Tariffs and tensions: Navigating the US-China trade war






#Amerika Syarikat #ASEAN #BRICS #Donald Trump #Jomo Kwame Sundaram #White House #tarif #perdagangan