BISNES
Tarif AS: Kadar 19 peratus tidak beri kelebihan, perlu kekal berdaya saing - Penganalisis

Pada 1 Ogos lepas, Amerika Syarikat umum kadar tarif baharu untuk Malaysia sebanyak 19 peratus, iaitu penurunan enam peratus daripada kadar 35 peratus yang diumumkan pada 7 Julai 2025. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kadar tarif 19 peratus yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak wajar menjadi candu kepada Malaysia untuk menganggap ia akan memberi kelebihan perdagangan serantau yang istimewa.
Ringkasan AI
- Walaupun kadar tarif diturunkan kepada 19 peratus, ia tidak semestinya meletakkan Malaysia dalam kedudukan lebih baik berbanding negara serantau. Daya saing dan daya tahan industri tempatan tetap menjadi keutamaan.
- Malaysia disaran tidak bergantung kepada dasar perlindungan domestik semata-mata, sebaliknya terus menyertai pakatan perdagangan global seperti RCEP dan CPTPP untuk kekal relevan dalam pasaran antarabangsa.
- AS tidak menyertai banyak perjanjian perdagangan serantau, menyebabkan presidennya menggunakan tarif sebagai instrumen rundingan untuk kepentingan ekonomi domestik.
“Industri yang banyak hubungan eksport dengan Amerika Syarikat (AS) ialah industri elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor. Ini merupakan industri khusus yang mana Malaysia mempunyai kepakaran lebih baik berbanding negara-negara serantau.
“Mungkin ada kesan perbezaan kadar tarif eksport ke Amerika Syarikat (antara negara-negara ASEAN), tetapi kalau untuk menyatakan bahawa pengumuman kadar tarif 19 peratus ke atas Malaysia akan meletakkan negara dalam kedudukan persaingan lebih baik adalah tidak tepat.
“Pada pendapat saya, perkara yang penting ialah perihal daya tahan negara, memandangkan Malaysia mempunyai industri-industri utama yang mengeksport barangan ke AS dan industri-industri ini diberikan pengecualian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Tarif AS: Kadar 19 peratus tidak beri kelebihan, perlu kekal berdaya saing - Penganalisis
Dalam temu bual sama, Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Presiden Akademi Profesor Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Jamal Othman pula berkata, Malaysia perlu kekal mengambil pendekatan perdagangan yang anjal terhadap perubahan dan cabaran pasaran.Menurutnya, ini bermaksud kerajaan tidak boleh mengikat ekonomi negara kepada dasar yang hanya berorientasikan perlindungan domestik sehingga menyebabkan negara terasing daripada pakatan ekonomi global.
Jamal menjelaskan langkah-langkah tersebut sememang sudah diambil ketika ini apabila Malaysia menjadi sebahagian daripada gagasan-gagasan perdagangan global penting.
“Kita sebenarnya telah melakar diversifikasi perdagangan dan pelaburan sejak sekian lama. Kita telah mulakan dengan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN, ASEAN-China FTA, ASEAN+3 (Jepun, China dan Korea Selatan).
“Kita juga anggota kepada Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Ini merupakan langkah-langkah awal untuk mempertahan keutuhan perdagangan kita agar tidak terlalu bergantung kepada satu-satu pasaran utama sahaja,” jelasnya.
Tambah Jamal, AS merupakan antara negara yang tidak menjadi sebahagian daripada pakatan perdagangan seumpama ini yang mungkin menyebabkan Trump terdesak untuk menggunakan tarif sebagai instrumen rundingan perdagangan untuk menyelematkan ekonominya.
“Kita lihat sekitar 2010, ada percubaan untuk memuktamadkan AS-Malaysia FTA tetapi tidak termeterai. AS juga ada hasrat untuk menyertai ASEAN-AS FTA, juga tidak berhasil. Kita tahu bahawa AS menarik diri daripada rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA),” ujarnya lagi.
Pada 1 Ogos lepas, kadar tarif baharu untuk Malaysia diumumkan sebanyak 19 peratus, iaitu penurunan enam peratus daripada kadar 35 peratus yang diumumkan pada 7 Julai 2025.
Agenda AWANI: Tarif AS 19%, Rundingan Tak Jejas Kedaulatan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami