BUSINESS

Tarif Trump: APEC beri amaran nilai eksport hampir tidak berkembang tahun ini

Agensi 15/05/2025 | 08:00 MYT
APEC memberi amaran bahawa eksport di rantau ini hampir tidak akan berkembang tahun ini akibat tarif dari Amerika Syarikat (AS). - Foto Reuters
SEOGWIPO: Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) memberi amaran pada Khamis bahawa eksport di rantau ini hampir tidak akan berkembang tahun ini akibat tarif dari Amerika Syarikat (AS).

Ringkasan AI
  • APEC memberi amaran bahawa eksport di rantau Asia Pasifik dijangka hampir tidak berkembang tahun ini akibat tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS). Perhimpunan tahunan barisan menteri perdagangan membincangkan kesannya terhadap ekonomi serantau.
  • Tarif tinggi dan langkah bukan tarif meningkatkan ketidaktentuan dasar, melemahkan keyakinan pelabur, serta boleh menjejaskan permintaan dan pekerjaan. APEC meramalkan pertumbuhan eksport hanya 0.4% tahun ini berbanding 5.7% pada tahun lalu.
  • Unjuran pertumbuhan ekonomi serantau APEC diturunkan kepada 2.6% daripada 3.3% sebelumnya. Tarif yang diperkenalkan sejak pentadbiran Trump telah mengurangkan kadar tarif purata serantau, namun perdagangan barangan meningkat lebih sembilan kali ganda.

Amaran ini dikeluarkan ketika kumpulan disertai 21 negara anggota itu memulakan perhimpunan tahunan oleh barisan menteri perdagangannya.
Pengarah unit sokongan dasar APEC, Carlos Kuriyama berkata pihaknya sebelum ini telah mendengar pengumuman mengenai tarif yang lebih tinggi, langkah maklum balas, penggantungan atau penghapusan faedah atau prosedur yang memudahkan perdagangan namun tidak membantu perniagaan.
"Kami juga telah mendengar tentang peningkatan langkah bukan tarif yang menjejaskan perdagangan dan semua ini, malangnya, tidak membantu perniagaan kerana apa yang berlaku adalah peningkatan tahap ketidaktentuan dasar yang belum pernah berlaku sebelum ini.
"Ini juga menggugat keyakinan pelabur, melemahkan permintaan dan akhirnya boleh menjejaskan pekerjaan. Dan kami bimbang tentang perkara itu," katanya.
APEC meramalkan eksport di rantau ini hanya akan meningkat sebanyak 0.4 peratus tahun ini, selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 5.7 peratus tahun lalu.
Dalam pada itu, laporan analisis trend serantau itu melaporkan, blok tersebut telah mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi serantau bagi tahun ini kepada 2.6 peratus daripada 3.3 peratus sebelum ini.
Pentadbiran Trump telah mengenakan tarif secara meluas yang menyasarkan lebih separuh daripada negara-negara anggota APEC, di mana kadar tarif purata serantau telah menurun kepada 5.3 peratus menjelang tahun 2021, daripada 17 peratus pada tahun 1989.
Sementara itu, sepanjang tempoh ini, perdagangan barangan telah meningkat lebih sembilan kali ganda.
#Asia #APEC #tarif Trump #eksport