[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
BUSINESS

Tarif Trump: ASEAN perlu kekal neutral, lindungi blok serantau - Amir Fareed

Syafik Shukri Jalil 08/04/2025 | 06:45 MYT
Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berkata, dalam mendepani setiap krisis yang berlaku, negara perlu bijak merebut peluang lain. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: ASEAN wajar mengekalkan neutraliti dalam hubungan dagangnya dengan negara-negara kuasa besar bagi melindungi ekonomi blok itu sendiri.

Ringkasan AI
  • ASEAN harus mengekalkan neutraliti dalam hubungan dagangnya dengan negara-negara kuasa besar untuk melindungi ekonomi blok tersebut.
  • Tindakan unilateral AS mengenakan tarif timbal balik memberi impak besar kepada ekonomi dan geopolitik, dan ASEAN perlu bersikap adil kepada negara yang membantu ekonomi blok tersebut.
  • Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April akan membincangkan implikasi tarif AS dan mencari respons bersepadu untuk mengurangkan gangguan kepada perdagangan dan pelaburan serantau.

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berkata, ASEAN tidak mampu membuat pilihan namun harus berlaku adil kepada negara yang membantu mensejahterakan ekonomi blok tersebut.
‘’Kita harus kekal bersikap neutral kerana sebagai negara yang berdagang dengan negara (kuasa) besar ini kita tidak mampu membuat pilihan tetapi pada masa yang sama kita perlu melihat negara mana yang mengikut rule-based order.
‘’Jadi kalau selama ini sistem perdagangan global serta perdagangan dunia ini dibangunkan oleh Amerika Syarikat (AS) tetapi AS sendiri yang sedang cuba mengubah landskap perdagangan.
‘’Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk tahun ini harus memastikan bahawa kita kekal neutral tetapi pada masa yang sama (perlu) berlaku adil kepada negara mana yang lebih membantu mensejahterakan ekonomi kita,’’ katanya.
Amir Fareed berkata demikian kepada Astro AWANI sempena Persidangan Pelaburan ASEAN di ibu negara, pada Selasa.
Selain itu ujarnya, tindakan Washington yang mengumumkan tarif timbal balik pada minggu lalu sebagai satu tindakan bersifat unilateral.
Ini kerana tindakan itu bukan sahaja meninggalkan impak yang besar kepada ekonomi malah memberi kesan kepada geopolitik.
‘’Pada akhirnya neutraliti ini mesti dihormati oleh negara kuasa-kuasa besar ini kalau AS terus bertindak unilateral begini tidak melakukan rundingan terus mengumumkan tarif kepada negara-negara seluruh dunia, apa maksud neuraliti ini? Saya rasa tarif ini bukan saja mempunyai kesan ekonomi tetapi kepada geopolitik,’’ ujarnya lagi.
Minggu lalu, Trump mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Trump turut mengumumkan tarif timbal balik yang tinggi terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah (20 peratus), Vietnam (46 peratus), Sri Lanka (44 peratus), Kemboja (49 peratus), Laos (48 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Di peringkat ASEAN, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi pada 10 April ini akan membincangkan implikasi tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau, kestabilan makroekonomi, serta respons bersepadu blok itu.
Selepas itu, beliau berkata, pemimpin ASEAN akan bertemu untuk membincangkan hala tuju blok tersebut, bagi menangani dan mengurangkan potensi gangguan kepada perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan, serta aliran pelaburan ke rantau ini.
Langkah seterusnya, kata Tengku Zafrul, ialah meneruskan penglibatan strategik peringkat tinggi dengan AS.
#tarif Trump #ASEAN #neutraliti #hubungan dagang