BISNES

Tarif Trump: Jepun umum langkah kecemasan ekonomi bendung kesan tarif AS

Bernama 25/04/2025 | 10:16 MYT
Perdana Menteri Shigeru Ishiba menekankan pentingnya kerjasama dengan AS untuk mengurangkan kesan tarif terhadap industri utama. - Gambar fail/Reuters
TOKYO: Kerajaan Jepun pada Jumaat mengumumkan pakej langkah kecemasan ekonomi bagi menangani kesan negatif tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menjelang pusingan kedua rundingan perdagangan dua hala yang dijadualkan minggu depan.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Jepun mengumumkan pakej langkah kecemasan ekonomi untuk menangani kesan negatif tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh Presiden AS Donald Trump, termasuk sokongan pembiayaan korporat dan subsidi tenaga.
  • Perdana Menteri Shigeru Ishiba menekankan pentingnya kerjasama dengan AS untuk mengurangkan kesan tarif terhadap industri utama seperti automotif dan keluli.
  • Menteri Pemulihan Ekonomi Ryosei Akazawa akan melawat AS untuk rundingan perdagangan, dengan harapan dapat mendesak pengecualian atau semakan terhadap tarif yang dikenakan.


Menurut Kyodo News, pakej bantuan itu merangkumi lima teras utama, termasuk sokongan pembiayaan korporat dan langkah merangsang penggunaan, dalam usaha meredakan kebimbangan bahawa tarif AS boleh menjejaskan eksport Jepun dan memberi kesan besar kepada ekonomi secara keseluruhan.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Shigeru Ishiba turut berjanji untuk menurunkan harga petrol dan diesel sebanyak 10 yen seliter, menyediakan subsidi bil tenaga serta mempertimbangkan peluasan pinjaman berfaedah rendah kepada syarikat kecil bermula bulan depan.

Dalam mesyuarat merangka pakej berkenaan, Ishiba menggesa pegawai kerajaan agar berusaha sedaya upaya mengurangkan kesan tarif lebih tinggi yang dikenakan AS.

Tarif itu boleh "memberi kesan besar kepada industri domestik yang menjadi tunjang negara kita, seperti automotif dan keluli," kata Ishiba sambil menekankan pentingnya kerjasama antara Tokyo dan Washington demi manfaat bersama.

"Sangat penting untuk kita menyampaikan dengan jelas kepada Amerika Syarikat bahawa syarikat Jepun telah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi AS melalui pelaburan dan pewujudan pekerjaan," kata beliau.

Menurut Kyodo, Menteri Pemulihan Ekonomi Ryosei Akazawa, yang juga pembantu rapat Ishiba, merancang untuk melawat Amerika Syarikat selama tiga hari mulai Rabu depan bagi mengadakan rundingan dengan Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, yang mengetuai rundingan dengan Jepun.

Lawatan Akazawa itu dilihat sebagai peluang untuk Jepun mendesak pengecualian atau semakan terhadap tarif menyeluruh yang dikenakan oleh Trump, yang menurut Tokyo boleh mengancam kestabilan perdagangan global.

Bergantung kepada hasil pusingan kedua rundingan itu, kerajaan Ishiba mungkin memperkenalkan langkah tambahan bagi mengelakkan prestasi pengeluar Jepun merosot dan keyakinan pengguna menurun secara mendadak, menurut sumber terdekat.

Trump telah mengenakan tarif import lebih tinggi terhadap kereta, keluli dan aluminium. Tarif asas sebanyak 10 peratus masih dikekalkan walaupun terdapat penangguhan selama 90 hari bagi tarif timbal balik.

-- BERNAMA





#tarif Amerika Syarikat #Jepun #langkah kecemasan ekonomi #Donald Trump