BUSINESS

Tarif Trump: Krisis global mampu pacu ASEAN jadi blok lebih berpengaruh

Syafik Shukri Jalil 08/04/2025 | 09:00 MYT
Gan (kiri) menyifatkan krisis global semasa dan kedudukan rantau ini akan membuka peluang untuk ASEAN bertindak sebagai satu suara yang kolektif. -Foto ihsan Securities Commission Malaysia
KUALA LUMPUR: ASEAN dijangka muncul sebagai satu kuasa serantau yang lebih kukuh dan relevan di peringkat global dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ringkasan AI
  • ASEAN dijangka muncul sebagai kuasa serantau yang lebih kukuh dan relevan di peringkat global dalam tempoh lima tahun akan datang, bertindak sebagai satu suara kolektif.
  • ASEAN diharapkan dilihat sebagai satu blok oleh pelabur, memudahkan urusan pelaburan dan mencipta peluang besar dalam pembangunan ekonomi.
  • ASEAN perlu memperkukuhkan keterhubungan antara negara anggota dalam perdagangan, ilmu pengetahuan, pembangunan modal insan, dan tenaga kerja untuk meningkatkan relevansi dan integrasi serantau.

Demikian aspirasi Ketua Ekonomi Kumpulan RHB, Barnabas Gan yang menyifatkan krisis global semasa dan kedudukan rantau ini akan membuka peluang untuk ASEAN bertindak sebagai satu suara yang kolektif.
“Pertama, disebabkan oleh krisis (pengumuman tarif timbal balas), kita akan muncul sebagai satu suara yang lebih kuat di peringkat global.
‘’Masyarakat global tidak akan melihat kita sebagai warga Malaysia, Singapura, atau Indonesia, mereka akan melihat kita sebagai ASEAN dan mewakili suara sepuluh negara dan itu memberikan kekuatan dalam rundingan di masa depan,’’ katanya.
Gan berkata demikian kepada Astro AWANI semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat (AFMGM) serta Mesyuarat Berkaitan dan Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC) di ibu negara, pada Selasa.
Selain itu, Gan berkata pihaknya juga berharap agar pihak pelabur terus melihat ASEAN sebagai satu blok untuk memudahkan urusan pelaburan dan mencipta lebih banyak peluang dalam membangun dan merancakkan ekonomi blok itu.
Pada masa sama, Gan turut menyatakan harapannya agar ASEAN akan terus memperkukuhkan keterhubungan antara negara anggota dalam aspek perdagangan, ilmu pengetahuan, pembangunan modal insan serta tenaga kerja.
‘’Perkara kedua yang saya nantikan ialah pelabur melihat kita sebagai satu blok, dan itu sangat penting. Ini akan mewujudkan peluang yang besar serta kesan limpahan positif dalam pelaburan, perdagangan dan pengembangan perniagaan.
‘’Dan perkara terakhir yang saya ingin lihat ialah satu rangsangan yang kuat dalam keterhubungan, perdagangan, perkongsian ilmu, modal insan dan tenaga kerja.
‘’Ini bermaksud penghapusan halangan dan sekatan serta galakan kepada integrasi dan kesan limpahan positif daripada semua keterhubungan ini, yang akan menjadikan ASEAN lebih relevan berbanding hari ini,’’ tambahnya.
#tarif Trump #ASEAN #kuasa serantau #Barnabas Gan