BUSINESS
Tarif Trump: Malaysia komited terhadap prinsip sistem perdagangan multilateral WTO - MITI

MITI berkata, Malaysia sentiasa berpandangan sistem perdagangan terbuka, telus dan adil adalah penting untuk serantau dan kestabilan ekonomi global. - FB Tengku Zafrul
PULAU JEJU: Malaysia terus komited dengan prinsip sistem perdagangan multilateral, seperti mana yang diterapkan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Ringkasan AI
- Komitmen terhadap Perdagangan Multilateral: Malaysia menegaskan kepentingan perdagangan terbuka, telus, dan adil serta menggesa pemulihan mekanisme penyelesaian pertikaian WTO bagi memastikan kestabilan ekonomi global.
- Pendekatan Proaktif & Digitalisasi: Malaysia mengetengahkan Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan dan Pejabat AI Kebangsaan untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan geseran perdagangan, dan memperkukuh ketelusan rantaian bekalan serantau.
- Pembangunan Ekonomi & Keterangkuman: Malaysia mencadangkan kerjasama lebih erat antara APEC dan ASEAN dalam perdagangan digital, selain memperkukuh pembangunan kapasiti bagi perusahaan kecil dan sederhana dalam bidang ekonomi kitaran dan teknologi hijau.
MITI berkata demikian dalam kenyataan media sempena Mesyuarat Menteri APEC Bertanggungjawab Untuk Perdagangan (MRT) Ke-31 di Korea Selatan, yang dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Jumaat.
Dalam pada itu MITI berkata, Tengku Zafrul turut menekankan pendekatan proaktif Malaysia terhadap integrasi ekonomi serantau dan pembangunan mampan.
“Malaysia mengetengahkan inisiatif nasional seperti Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan dan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan, yang kedua-duanya bertujuan untuk memanfaatkan kecerdasan buatan bagi mengurangkan geseran perdagangan, meningkatkan produktiviti, dan memperkukuh ketelusan rantaian bekalan merentasi sempadan.
"Selain itu, Menteri turut menekankan kepentingan penjajaran rangka kerja digital dan pemudahan perdagangan di seluruh rantau ini,” menurut kenyataan itu lagi.
MITI berkata Tengku Zafrul telah mencadangkan penumpuan yang lebih erat antara inisiatif digital APEC, dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), termasuk pengiktirafan bersama kelayakan digital dan skim pedagang yang dipercayai, bagi meningkatkan komunikasi peraturan dan menggalakkan perdagangan digital yang lancar.
“APEC tidak seharusnya hanya bertindak balas terhadap trend global, tetapi mesti membentuknya. Ini bermakna menerapkan kepercayaan, kebolehoperasian dan keterangkuman dalam setiap inisiatif, terutamanya dalam pendekatan kita terhadap AI, pemudahan perdagangan rentas sempadan, dan peralihan iklim yang adil.
“Mengenai keterangkuman, salah satu cadangan Malaysia adalah mempertingkatkan usaha pembangunan kapasiti, khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana, dalam bidang seperti ekonomi kitaran, perakaunan karbon, dan pertanian pintar,” katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata, kemajuan sebenar muncul apabila perniagaan dari semua saiz mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memanfaatkan kemajuan teknologi dan AI bagi mencapai pertumbuhan mampan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami