BUSINESS
Tarif Trump: Penubuhan NGCC, pasukan petugas khas satu langkah tepat Malaysia – IDEAS
Kerajaan digesa menjalin perkongsian jangka panjang yang saling menguntungkan dengan negara yang komited terhadap perdagangan bebas dan adil.
KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) dan pasukan petugas tarif MITI, dilihat sebagai satu tindak balas segera dan seimbang oleh Kerajaan Malaysia, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Ringkasan AI
- Penubuhan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) dan pasukan petugas tarif MITI oleh Kerajaan Malaysia dilihat sebagai tindak balas segera dan seimbang terhadap krisis tarif global.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin strategi bersama di peringkat ASEAN semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, dengan penekanan pada ketelusan institusi dan reformasi struktur.
- Kerajaan digesa untuk tidak mengambil langkah balas atau menaikkan tarif seperti Amerika Syarikat, sebaliknya menjalin perkongsian jangka panjang yang saling menguntungkan dengan negara yang komited terhadap perdagangan bebas dan adil.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, ia berkata, tumpuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin strategi bersama di peringkat ASEAN semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 amatlah tepat pada masanya dan wajar dipuji.
Namun ia berkata, tindak balas tersebut perlu disusuli dengan makluman berkala bagi meyakinkan para pemain industri dan orang awam bahawa kepentingan mereka dilindungi, serta pasaran kekal kukuh dan stabil.
Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS, Dr Stewart Nixon dalam kenyataan tersebut berkata, kerajaan digesa untuk tidak mengambil langkah balas atau menaikkan tarif seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, kerana tindakan itu hanya akan menambah beban ekonomi terhadap rakyat Malaysia.
Sebaliknya, jelasnya lagi, Malaysia perlu terus menjalin perkongsian jangka panjang yang saling menguntungkan dengan negara yang komited terhadap perdagangan bebas dan adil.
Penekanan juga harus diberikan kepada peningkatan ketelusan institusi dan pemerkasaan reformasi struktur bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang stabil, berdaya tahan dan mampan.
“Para penggubal dasar perlu sedar bahawa kejutan ekonomi memberi kesan paling besar kepada golongan rentan dan perniagaan kecil. Malaysia mesti berwaspada untuk mengurangkan kerentanan ini, tatkala Amerika Syarikat kelihatan seolah-olah sengaja mewujudkannya,” kata Nixon.
Dalam pada itu IDEAS berkata, polisi yang mengganggu dan tidak selaras dari segi ekonomi itu merupakan satu lagi penyimpangan daripada pendekatan multilateralisme berasaskan peraturan.
Ia sekali gus menimbulkan risiko lebih besar terhadap integrasi ekonomi dunia serta prinsip perdagangan bebas dan terbuka.
“Tarif menyeluruh ini merupakan satu lagi tindakan merosakkan dan tersasar oleh pentadbiran Trump yang menyimpang daripada dasar ekonomi yang kukuh. Ia menambah kepada penutupan USAID dan penarikan diri Amerika Syarikat daripada tadbir urus antarabangsa, yang secara keseluruhannya mewujudkan ketidaktentuan ekonomi yang semakin meningkat dan mengancam mata pencarian rakyat Malaysia dan masyarakat dunia,” kata Nixon.
Beliau berkata, tarif membebankan yang dikenakan oleh pentadbiran Trump tidak berkaitan langsung dengan dasar perdagangan Malaysia (atau mana-mana negara lain).
Purata tarif berwajaran perdagangan Malaysia ke atas import dari Amerika Syarikat, menurut beliau, hanyalah 1.5 peratus, dengan lebihan dagangan barangan Malaysia lebih mencerminkan kelebihan daya saing dan pilihan permintaan berbanding sekatan perdagangan.
“Tarif tersebut akan meningkatkan kos perdagangan, sekali gus menghalang pertukaran barangan dan perkhidmatan yang sebenarnya memberikan manfaat besar kepada kedua-dua negara, termasuk dalam meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan dan menurunkan harga,” katanya lagi.