BUSINESS
Tarif Trump: Tangguh pelaksanaan dasar fiskal negara, prihatin beban rakyat - MP
Hamzah Zainudin (kiri) dan Lim Guan Eng (kanan) senada menyarankan agar kerajaan menangguhkan penarikan subsidi RON95. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyarankan agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar fiskal negara yang dijangka memberi tekanan dan membebankan pengguna susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Ringkasan AI
- Datuk Seri Hamzah Zainudin menyarankan kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar fiskal seperti penarikan subsidi RON95 dan kenaikan tarif elektrik.
- Hamzah juga mencadangkan kerajaan mengekalkan dasar neutral dalam hubungan perdagangan.
- Lim Guan Eng mencadangkan penurunan kadar faedah OPR dan menarik balik cadangan sumbangan KWSP oleh majikan kepada pekerja asing.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, penangguhan tersebut termasuk penarikan subsidi RON95 yang dijadual berkuat kuasa pada Jun, dan kenaikan tarif elektrik pada Julai ini.
"Saya ingin mendesak kerajaan kalau boleh, kerajaan perlu prihatin dan ambil serius kesan pelaksanaan tarif ini.
"Kita tangguhkan sebarang perubahan dasar terutamanya dasar fiskal negara yang boleh memberi tekanan kos dan melemahkan sentimen perniagaan dan akhirnya membebankan pengguna.
"Saya nak bagi contoh tentang kenaikan harga RON95 pada Jun ini supaya kerajaan ambil kira, dan kalau boleh kita tangguhkan, kita tangguhkan.
"Begitu juga dengan kenaikan tarif elektrik pada Julai, dan kita tangguhkan juga langkah perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), ini sepatutnya kita ambil kira juga.
"... dan akhirnya saya mohon kepada kerajaan, tadi Perdana Menteri maklumkan pembelian 30 pesawat Boeing (oleh Malaysia Aviation Group) dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kalau kita boleh tangguh, kita tangguhkan lah dulu," katanya ketika sesi perbahasan mengenai tarif timbal balik pada Sidang Khas Parlimen di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.
Hamzah dalam sesi sama turut menyarankan agar kerajaan terus mempertahankan dasar neutral dalam hubungan perdagangan, dengan tidak memihak kepada satu negara sahaja.
Sementara itu, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga menyarankan perkara sama.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan itu mengesyorkan agar kerajaan menimbang menarik balik cadangan sumbangan dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh majikan kepada pekerja asing.
"Kedua, menurun kadar faedah Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak satu peratus daripada tiga peratus sekarang, kepada dua peratus.
"Ini memandangkan kadar inflasi kian terkawal dan sasaran utama harus diberi tumpuan kepada menggerakkan ekonomi yang boleh dijalankan dengan menurun OPR," kata Lim.