[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
BUSINESS

Tarif Trump: Tiga bidang utama jadi tumpuan rundingan Malaysia-AS - Tengku Zafrul

Harits Asyraf Hasnan 29/04/2025 | 08:16 MYT
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata AS juga telah bersetuju untuk memulakan rundingan secara rasmi dengan Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengurangan tarif, halangan bukan tarif (NTB) dan ketidakseimbangan perdagangan menjadi tiga bidang utama dalam proses rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Ringkasan AI
  • Malaysia dan AS bersetuju memulakan rundingan rasmi mengenai pengurangan tarif, halangan bukan tarif (NTB), dan ketidakseimbangan perdagangan.
  • AS bersetuju mengukuhkan penguatkuasaan ke atas teknologi dan perlindungan hak harta intelek.
  • Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa, dilantik sebagai Ketua Perunding Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata AS juga telah bersetuju untuk memulakan rundingan secara rasmi dengan Malaysia.
“Kita (Malaysia-AS) belum bercakap tentang perincian lagi. Kita perlu berunding. Kita bercakap pada skala parameter yang lebih luas terlebih dahulu.
“Pertama ialah sama ada mereka (AS) mahu berunding dengan kita? Berita baiknya ialah mereka ingin melakukannya.
“Semasa pertemuan dengan USTR dan Setiausaha Perdagangan, kedua-duanya bersetuju bahawa kita harus mengambil langkah ke hadapan berdasarkan parameter yang saya nyatakan.
“Pertama adalah mengenai tarif itu sendiri kerana keseluruhan objektif bagi kami adalah untuk mengurangkan tarif, jika boleh ke tahap sifar. Tetapi jelas sekali kita perlu mencari situasi menang-menang untuk kedua-duanya,” ujar Tengku Zafrul.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MITI dan Agensi 2025 di ibu negara pada Selasa.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata AS juga bersetuju untuk mengukuhkan penguatkuasaan ke atas teknologi dan perlindungan hak harta intelek.
Jelas beliau, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa akan dilantik sebagai Ketua Perunding Malaysia manakala AS pula akan diwakili oleh Penolong Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR).
Perincian lanjut hasil lawatan beliau bersama delegasi MITI ke Washington minggu lalu akan dibawa ke mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Mengenai dakwaan berlaku lambakan produk dari China di negara ini, Tengku Zafrul berkata pihaknya sedang melakukan siasatan dan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya dakwaan itu benar dan terbukti bersalah.
#Tengku Zafrul #tarif AS #Donald Trump #terkini