KUALA LUMPUR: Techna-X Bhd (TXB) mengumumkan bahawa ia kekal sebagai pemilik sah dan benefisial ke atas 100,000 saham dalam HK Aerospace Beidou New Energy Technology Co Ltd (HKAB).
Hal ini sekali gus membolehkan syarikat itu memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Tess Global Sdn Bhd pada 3 Sept, 2026.
Sebagai menjawab pertanyaan Bursa Malaysia, syarikat itu menyatakan di bawah SSA terdahulu yang ditandatangani pada Disember 2025, pemindahan hak milik sah dan benefisial bagi saham berkenaan tertakluk kepada penyempurnaan SSA pada Disember 2025.
TXB menjelaskan ia hanya akan berkuat kuasa selepas SSA berkenaan disempurnakan.
"Memandangkan penyelesaian SSA pada Disember 2025 tidak berlaku, tiada pemindahan saham berkenaan dilaksanakan dan pemilikan sah serta benefisial ke atas saham tersebut kekal milik TXB.
"Oleh itu, TXB terus mempunyai hak milik sah sepenuhnya serta hak dan kuasa untuk menjual saham berkenaan. Justeru, TXB berupaya memeterai SSA pada September 2026 dengan Tess Global bagi penjualan 100,000 saham biasanya dalam HKAB," jelasnya.
Penjelasan itu dibuat bagi menjawab pertanyaan Bursa Malaysia berhubung cadangan penjualan 100,000 saham dalam HKAB oleh TXB yang mewakili 50 peratus daripada modal saham terbitan syarikat berkenaan bagi jumlah RM45 juta.
TXB pada Khamis berkata daripada jumlah hasil tersebut, RM30 juta diperuntukkan untuk mempertingkatkan perniagaan restoran kumpulan itu melalui pembukaan 10 cawangan baharu di wilayah tengah Semenanjung dan menaik naik imej dua cawangan sedia ada.
Sebanyak RM5 juta lagi akan digunakan untuk menjelaskan pemiutang dagangan serta pemiutang lain manakala RM8.5 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan kendalian dan pentadbiran am selain RM1.5 juta untuk perbelanjaan berkaitan cadangan penjualan tersebut," jelasnya.
-- BERNAMA