133. Program utama yang akan dilaksanakan merangkumi:
Pertama: Tiga bilion ringgit untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan;
Kedua: 720 juta ringgit bagi pembinaan sebelas ibu pejabat dan enam balai polis, serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi. Manakala 170 juta ringgit untuk menaik taraf peralatan ICT termasuk sistem 1PDRMnet, serta 100 juta ringgit bagi menaik taraf sistem komunikasi.
Selanjutnya, bagi menjaga kebajikan anggota polis, saya dengan sukacitanya mengumumkan,... 10 ribu unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM atau PPA1M-PDRM akan dibina, yang harganya sesuai dengan tangga gaji anggota polis;
Ketiga: 490 juta ringgit kepada APMM untuk baik pulih dan selenggara kapal serta bot, menaiktaraf jeti, juga pembelian tiga kapal peronda;
Keempat: 250 juta ringgit kepada ESSCOM bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak, termasuk 50 juta ringgit untuk coastal surveillance radar;
Kelima: 50 juta ringgit bagi meningkatkan keupayaan aset pesenjataan pasukan gerak khas menangani kegiatan anti-keganasan; dan
Keenam: Selain itu, dalam menghargai peranan RELA membantu masyarakat selama ini, Kerajaan menyediakan peruntukan yang paling tinggi, iaitu hampir 250 juta ringgit bagi kelengkapan keperluan, termasuk pakaian seragam.
134. Dalam menjaga kebajikan para tentera, Kerajaan akan:
Pertama: Menyediakan blueprint Perumahan Keluarga Angkatan Tentera untuk membina lebih 40 ribu unit secara berfasa, menjelang tahun 2030. Bagi 2018, sebanyak hampir 6 ribu unit akan dibina; dan
Kedua: 40 juta ringgit untuk menaik taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran angkatan tentera.
135. Untuk itu, marilah kita bersama-sama memberikan setinggi-tinggi penghargaan dan tepukan kepada semua anggota keselamatan negara, merangkumi pasukan polis, anggota tentera, dan APMM, yang telah berkorban jiwa dan raga, demi menjaga keamanan serta kedaulatan pertiwi tercinta ini!
Tuan Yang Dipertua,
136. Seperti mana kita maklum, Masyarakat Bumiputera kini menghampiri 70 peratus daripada keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia.
137. Oleh yang demikian, adalah wajar Kerajaan melalui dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera atau TKB, untuk terus mempastikan Agenda Pemerkasaan Bumiputera menjadi Agenda Nasional.
138. Semenjak tahun 2009, pelbagai inisiatif besar bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera telah dan sedang dilaksanakan.
139. Contohnya, inisiatif Carve Out and Compete bagi Bumiputera, telah mencapai nilai kontrak lebih 61 bilion ringgit. Juga, 1.7 bilion ringgit Dana Mudahcara telah diluluskan kepada 515 projek, menyediakan lebih 44 ribu peluang pekerjaan.
140. Apa yang membanggakan, program ini telah membuktikan bahawa, kontraktor-kontraktor Bumiputera semakin berdaya saing dan berkeupayaan, malah mampu menyiapkan projek lebih awal dari jadual, tanpa menjejaskan kualiti.
141. Di sudut lain, melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, hampir 17 ribu bakat-bakat profesional bumiputera telah berjaya dilahirkan seperti di bidang perakaunan dan kejuruteraan.
142. Selain itu, 2.4 bilion ringgit diperuntukkan kepada UiTM. Dalam pada ini, Kerajaan telah menambah bilangan kemasukan pelajar di UiTM kepada lebih 165 ribu orang dengan sasaran mencapai 250 ribu pelajar menjelang 2020.
143. Lebih membanggakan, UiTM sebagai institusi Bumiputera, telah berjaya melahirkan lebih 700 ribu graduan Melayu dan Bumiputera.
144. Laginya, untuk 2018, Kerajaan memperuntukkan lebih 3.5 bilion ringgit bagi inisiatif:
Pertamanya: 2.5 bilion ringgit, yakni tertinggi pernah diberikan, untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA, memanfaatkan hampir 90 ribu pelajar, termasuk 1,500 dalam bidang kritikal seperti Artificial Intelligence, signalling dan Rel;
Kedua: 90 juta ringgit, bagi Program Peneraju Profesional, Skil dan Tunas, memanfaatkan hampir 8 ribu orang;
Ketiga: 200 juta ringgit untuk MARA Graduate Employability Training Scheme atau GETS;
Keempat: 555 juta ringgit untuk Program Peningkatan Keusahawanan Bumiputera, terdiri daripada:
· 200 juta ringgit bagi Program Keusahawanan dan Premis Perniagaan PUNB;
· 200 juta ringgit untuk Program Pembangunan Keusahawan MARA; serta
· 155 juta ringgit untuk program pembangunan kapasiti vendor, Tunas Usahawan Belia Bumiputera atau TUBE, Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dan Skim Anjakan Usahawan; dan
Kelima: Bagi meningkatkan pegangan ekuiti dan pelaburan dalam sektor strategik, 150 juta ringgit diperuntukkan kepada Pelaburan Hartanah Berhad dan 150 juta ringgit kepada EKUINAS.
Tuan Yang Dipertua,
TEOH Chap Et, 68, (tengah) bersama ahli keluarganya berbual mengenai bajet semasa menonton Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pembentangan Bajet 2018 secara langsung di Jalan Batu Perempuan, Georgetown, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
145. Sebagai suatu Bajet yang inklusif, untuk komuniti Cina pula, Kerajaan turut menyediakan 50 juta ringgit untuk pinjaman PKS melalui KOJADI.
146. Sebagai tambahan, 30 juta ringgit juga disalurkan kepada Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia untuk memberi pinjaman kepada penjaja komuniti Cina.
147. Sementara itu, kepada pembangunan Kampung-kampung Baru Cina, sebanyak 65 juta ringgit diperuntukkan, dan 10 juta ringgit lagi untuk program membaik pulih rumah.
Tuan Yang Dipertua,
148. Menyentuh kebajikan kaum India pula, purata pendapatan bulanan isi rumah menunjukkan kadar pertumbuhan yang tinggi, iaitu 6.8 peratus setahun. Laginya baru-baru ini, saya telah melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia.
149. Untuk itu, melalui TEKUN, 50 juta ringgit diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Usahawan Masyarakat India, memanfaatkan lebih 35 ribu usahawan. Sebagai tambahan, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan untuk program pembangunan sosio ekonomi masyarakat India.
150. Pada masa yang sama, melalui MIB juga, pengambilan kaum India ke institusi pengajian tinggi awam dan perkhidmatan awam akan Kerajaan tingkatkan, dengan sasaran pengambilan baharu tujuh peratus.
151. Di bawah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India atau SEDIC pula, lebih 230 juta ringgit telah diagihkan sejak 2014, memanfaatkan lebih 500 ribu peserta kaum India.
152. Bajet 2018 juga akan memperkenalkan satu inisiatif baharu untuk masyarakat India. Sukacita saya maklumkan bahawa PNB akan membuat pengagihan khas sejumlah 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30 ribu unit setiap pelabur.
153. Bagi menyokong inisiatif ini juga, dana sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan untuk tempoh lima tahun bagi satu skim pinjaman pelaburan khas yang akan ditawarkan kepada 100 ribu isi rumah daripada golongan B40 masyarakat India, terhad kepada 5 ribu unit setiap peserta.
154. MIB membuktikan kepada masyarakat India bahawa, dalam pembangunan negara, tidak ada kelompok yang ketinggalan,... 'indeed, the future belongs to all of us' atau dalam bahasa Tamilnya disebut sebagai, 'NAA-LEY NAMA-THEY'.
Tuan Yang Dipertua,
155. Bagi meningkatkan taraf hidup dan pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli, 50 juta ringgit disediakan, meliputi program bantuan makanan komuniti, memanfaatkan hampir 5 ribu pelajar Orang Asli.
156. Selain itu, sebagai insentif kepada anak Orang Asli yang berjaya, Kerajaan juga akan memberi bantuan sebanyak 3 ribu ringgit kepada ibu bapa, sebagai perbelanjaan persediaan anak-anak mereka memasuki institusi pengajian tinggi.
157. Selanjutnya, Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak 60 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
158. Sememangnya wanita adalah tulang belakang kepada kesejahteraan keluarga dan pembangunan negara. Maka, sebagai menghargai sumbangan mereka, sukacitanya Kerajaan mengumumkan, 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.
159. Ke arah itu, antara langkah yang akan dilaksanakan:
Pertama: Mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam keahlian lembaga pengarah GLC dan GLIC serta badan berkanun, sebelum akhir tahun 2018;
Kedua: Mencadangkan tempoh cuti bersalin mandatori untuk sektor swasta dinaikkan daripada 60 hari ke 90 hari, seperti yang telah dilaksanakan oleh perkhidmatan awam;
Ketiga: 20 juta ringgit untuk program latihan dan keusahawanan wanita antaranya PEAK Entrepreneur Programme di bawah MyWin Academy; dan
Keempat: Bagi menggalakkan golongan wanita kembali bekerja, Kerajaan mencadangkan layanan pengecualian cukai pendapatan individu disediakan ke atas pendapatan yang diperolehi dalam tempoh 12 bulan berturut-turut, kepada mereka selepas tempoh sekurang-kurangnya dua tahun berhenti daripada pekerjaan. Pengecualian ini layak dituntut bagi tahun taksiran 2018 hingga 2020.
PENIAGA atas talian, Nurul Athirah Razali, 20 (kanan) bersama kakaknya, Siti Nur Fahimah Razali, 24 menyaksikan pembentangan bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur melalui telefon pintar ketika berniaga produk kesihatan dan tudung di gerai pameran sempena Karnival Toyyiba di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
Tuan Yang Dipertua,
160. PE-TUNJANG KELIMA: MENGUTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN PELUANG MENJANA PENDAPATAN.
161. Kerajaan terus komited dan berikhtiar gigih dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana pendapatan, melalui langkah-langkah berikut:
Pertama: 100 juta ringgit untuk memperluas Program eRezeki, eUsahawan dan eLadang di bawah MDEC;
Kedua: Menyediakan pinjaman mudah sebanyak 120 juta ringgit kepada seribu usahawan Food Truck 1Malaysia dan Mobile Food Kiosk 1Malaysia melalui Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional, dengan Kerajaan memberi subsidi kadar faedah empat peratus;
Ketiga: 60 juta ringgit untuk program 1AZAM, termasuk 10 juta ringgit untuk Sabah dan 10 juta ringgit untuk Sarawak; dan
Keempat: 25 juta ringgit untuk Program Motosikal Tiga Roda di bawah FAMA, program mobilepreneur GiatMara, dan program MyAGROSIS.
162. Di sudut lain, selaras dengan IR 4.0, kepada semua pemandu teksi berdaftar sedia ada, bahawa Kerajaan mendengar pandangan tuan-tuan, yang berhasrat untuk bertukar ke penggunaan aplikasi e-hailing. Untuk itu, saya umumkan,... geran 5 ribu ringgit disediakan kepada setiap pemandu teksi yang terlibat untuk membeli kereta baharu.
Kita berasa gembira kerana beberapa wakil pemandu teksi turut hadir mendengar pembentangan Bajet pada petang ini. Kita ucapkan terima kasih,... terima kasih!
Tuan Yang Dipertua,
163. Sejak BR1M diperkenalkan, terbukti rakyat teramai menerimanya dengan senang hati dan rasa syukur. Jelas sekali, BR1M merupakan suatu bentuk subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukannya, terbukti keberkesanannya.
164. Hatta, pihak pembangkang yang begitu negatif terhadap inisiatif ini dan menuduh sebagai "dedak" itu dan "umpan" ini, tapi kini tanpa segan silu membuat "u-turn", dan khabarnya Kerajaan Pulau Pinang sendiri telah akur akan benarnya program BR1M oleh Kerajaan ini.
165. Sehubungan itu, jika BR1M tahun ini telah memanfaatkan 7 juta penerima dengan peruntukan 6.8 bilion ringgit, maka bagi tahun 2018, 7 juta penerima itu akan terus menikmati pemberian ini, dengan kadar maksimum sehingga 1,200 ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
166. Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah serta merapatkan jurang pendapatan di Malaysia.
167. Dengan ini, saya mengumumkan satu lagi khabar gembira kepada setiap 2.3 juta pembayar cukai, yang akan dinikmati terutamanya oleh golongan pendapatan pertengahan yakni M40, atau lebih khusus, isi rumah berpendapatan 9 ribu ringgit ke bawah.
168. Ingin saya umumkan,.... kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara 20 ribu hingga 70 ribu ringgit, iaitu:
Pertama: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 20,001 ringgit sehingga 35,000 ringgit, kadarnya diturunkan daripada 5 peratus kepada 3 peratus;
Kedua: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 35,001 ringgit sehingga 50,000 ringgit pula, kadarnya diturunkan daripada 10 peratus kepada 8 peratus; dan
Ketiga: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 50,001 ringgit sehingga 70,000 ringgit kadarnya diturunkan daripada 16 peratus kepada 14 peratus.
Langkah ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat antara 300 ringgit sehingga seribu ringgit. Ini bermakna, dianggarkan sejumlah 1.5 bilion ringgit lebihan pendapatan boleh guna, dapat dibelanjakan oleh rakyat. Dengan langkah ini juga, semua pembayar cukai akan mendapat faedah di samping lebih 261 ribu orang kini tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan.
Tuan Yang Dipertua,
169. Seperkara lagi, demi kemaslahatan rakyat seharian, Bajet ini masih memperuntukkan 3.9 bilion ringgit subsidi barangan dan pengangkutan, termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.
170. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, Kedai Rakyat 1Malaysia akan distruktur semula sebagai KR1M 2.0. Sebagai permulaan pada 2018, 50 kedai akan dijadikan KR1M 2.0 dan diperluaskan kepada tiga ribu KR1M 2.0 dalam tempoh tiga tahun.
171. KR1M 2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan LPG. Di samping itu, 50 jenis barangan pengguna berjenama dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran.
172. Bagi Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di Sabah dan Sarawak diteruskan dengan peruntukan 80 juta ringgit.
173. Di samping itu, Kerajaan akan membangunkan Agrobazaar Malaysia dengan peruntukan 20 juta ringgit, bagi menyediakan ruang pasaran dan pusat jualan agro makanan dengan harga yang lebih rendah, dimulakan di Putrajaya.
174. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan program melalui FAMA dan LKIM dengan peruntukan 50 juta ringgit, bertujuan agar pengguna memperolehi stok barang makanan dengan harga berpatutan, seperti ikan, sayur, ayam dan telur.
Tuan Yang Dipertua,
175. Seterusnya, berita gembira buat pengguna lebuhraya di Selangor, Kedah dan Johor. Mulai 1 Januari 2018, Kerajaan telah bersetuju untuk:-
Pertama: Memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor;
Kedua: Memansuhkan kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah; dan
Ketiganya: Memansuhkan kutipan tol di Eastern Dispersal Link, Johor.
Tuan Yang Dipertua,
176. Bagi mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, Kerajaan akan meningkatkan sumbangan terhadap caruman kepada 15 peratus tertakluk kepada maksimum 250 ringgit setahun di dalam Skim Persaraan 1Malaysia, di bawah KWSP. Sumbangan ini bermula dari 2018 hingga 2022.
Tuan yang Dipertua,
177. Kerajaan sedar akan beban kos yang ditanggung oleh isi rumah, bagi penggajian pembantu rumah asing. Pada masa ini, kos keseluruhan membawa masuk setiap pembantu rumah boleh mencecah setinggi 12 hingga 18 ribu ringgit.
178. Bagi mengatasi isu ini, Kerajaan akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah asing supaya dapat dikurangkan pada masa hadapan.
179. Sebagai permulaan, Kerajaan memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung daripada sembilan negara sumber, tanpa melalui ejen.
180. Seterusnya, majikan boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen Malaysia secara online dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada.
Tuan Yang Dipertua,
181. Dalam hal perumahan dan kediaman, Kerajaan akan merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat dengan peruntukan 2.2 bilion ringgit seperti berikut:
Pertama: 17,300 unit rumah Projek Perumahan Rakyat;
Kedua: 3,000 unit rumah program Rumah Mesra Rakyat di bawah SPNB;
Ketiga: 210 ribu unit rumah di bawah program PR1MA yang berharga 250 ribu ringgit ke bawah. Untuk ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi tempoh dua tahun;
Keempat: 25 ribu unit rumah akan disiapkan pada tahun hadapan di bawah PPA1M, dan 128 ribu unit lagi di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan;
Kelima: 600 unit rumah di bawah program My Beautiful New Homes atau MyBNHomes untuk isi rumah B40 antaranya di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan kawasan orang asli;
Keenam: 2 ribu unit rumah di bawah program MyDeposit untuk membantu pembayaran deposit, dan program MyHomes untuk pemaju menyediakan lebih banyak rumah mampu milik; serta
Ketujuh: 200 juta ringgit untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah, termasuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia.
182. Bagi menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik, skim step-up financing yang diperkenalkan oleh PR1MA, dipanjangkan kepada pemaju perumahan swasta, berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan.
183. Berkaitan rumah terbengkalai pula, dicadangkan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindahmilik, diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai, berkuatkuasa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.
Tuan Yang Dipertua,
184. Bagi tujuan menggalakkan pasaran sewaan rumah kediaman pula, buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun,... Kerajaan mengumumkan,... pengecualian cukai ke atas pendapatan sewaan rumah kediaman sebanyak 50 peratus bagi pendapatan sewa sehingga dua ribu ringgit sebulan kepada individu rakyat Malaysia yang bermastautin di Malaysia.
185. Pengecualian ini diberi bermula dari tahun taksiran 2018 hingga 2020. Kerajaan juga akan menggubal Akta Sewaan Rumah Kediaman untuk melindungi penyewa dan pemilik rumah.
Tuan Yang Dipertua,
186. Bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, Kerajaan memperuntukkan hampir 27 bilion ringgit, meliputi:
Pertama: 2.5 bilion ringgit bagi bekalan ubat-ubatan dan 1.6 bilion ringgit untuk barangan consumable dan sokongan perubatan;
Kedua: 1.4 bilion ringgit bagi menaiktaraf dan menyelenggara fasiliti kesihatan, peralatan perubatan dan ambulan, termasuklah pembinaan dewan bedah secara modular di tiga hospital iaitu Hospital Muar, Banting dan Balik Pulau;
Ketiga: Menaiktaraf perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar;
Keempat: 100 juta ringgit untuk menaik taraf hospital dan klinik termasuk sistem pendawaian;
Kelima: 50 juta ringgit untuk bantuan haemodialisis dengan subsidi 100 ringgit daripada keseluruhan kos 110 ringgit setiap sesi rawatan.
Maknanya, mulai 2018, pesakit berdaftar hanya membayar sepuluh ringgit sahaja bagi setiap sesi rawatan.
40 juta ringgit lagi diperuntukan bagi Tabung Bantuan Perubatan. Kedua-dua insentif ini khusus untuk golongan kurang berkemampuan;
Keenam: 10 juta ringgit untuk menampung kos perubatan bagi rawatan rare diseases yang kian meningkat, dan 30 juta ringgit disediakan bagi program Komuniti Sihat Perkasa Negara ke arah kesedaran terhadap kesan penyakit tidak berjangkit di 10 ribu kawasan seluruh negara; dan
Ketujuh: Sejumlah 50 juta ringgit diperuntukkan kepada Voluntary Health Insurance Scheme untuk memperkasa sektor kesihatan.
187. Selanjutnya, Kerajaan akan membina hospital dan wad baharu meliputi:
Pertama: Dua blok wad wanita dan kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Putrajaya, dengan kapasiti 300 katil setiap satu, dengan kos satu bilion ringgit;
Kedua: Pusat Kanser di Sungai Petani, dengan kos 500 juta ringgit, dengan kapasiti 200 buah katil;
Ketiga: Blok klinik pakar dan wad baharu di Hospital Pulau Pinang, berkapasiti 300 buah katil, dengan kos 500 juta ringgit; dan
Keempat: Pusat perkhidmatan perubatan forensik bertaraf antarabangsa di Hospital Kuala Lumpur, dengan kos 380 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
188. Berkaitan GST pula, bagi terus menambah baik pelaksanaannya, Kerajaan mencadangkan:
Pertama: Semua pembekalan perkhidmatan oleh PBT tidak dikenakan GST, berkuatkuasa mulai 1 April 2018 atau 1 Oktober 2018 berdasarkan pilihan PBT;
Kedua: Layanan GST berkadar sifar ke atas bahan bacaan, diseragam dan diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, journal dan terbitan berkala mulai 1 Januari 2018;
Ketiga: Operator kapal persiaran diberi pelepasan GST ke atas perkhidmatan pengendalian yang dibekalkan oleh operator pelabuhan di Malaysia. Pelepasan ini bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020; dan
Keempat: Pelepasan GST sepenuhnya diberi ke atas perkhidmatan pembinaan bangunan sekolah dan rumah ibadat, yang dibiayai melalui sumbangan derma yang diluluskan. Pelepasan ini berkuat kuasa bagi kontrak perkhidmatan pembinaan yang ditandatangani mulai 1 April 2017.
Tuan Yang Dipertua,
189. Bercakap tentang GST lagi, pihak Kerajaan minta, agar sudah-sudahlah dipolemikkan sebagai isu politik,... kerana terbukti GST menjadi penyelamat kepada ekonomi kita tahun ini, kerana tanpa kutipan GST 41 bilion ringgit ini, kita tidak dapat bayangkan macam mana negara boleh menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk rakyat.
190. Jelasnya, pihak pembangkang sampai hari ini tidak sepakat tentang keputusan menerima sistem GST, ada yang kata GST diterima tapi based on zero-rate,... dan yang terbaru dah nak kembali ke SST pula,...
Tapi hakikatnya, apa yang telah Kerajaan lakukan itu, terakam dalam sejarah sebagai langkah berani yang terbukti kebenarannya.
191. Selanjutnya,...
Kelima: Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan peralatan berkaitan industri minyak dan gas di bawah satu perjanjian pajakan, dibekalkan oleh syarikat yang berada di Kawasan Ditetapkan iaitu Labuan, Langkawi dan Tioman kepada pelanggan di Malaysia, mulai 1 Januari 2018;
Keenam: Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan big ticket items, seperti kapal terbang dan kapal laut, oleh syarikat penerbangan dan perkapalan yang berdaftar di Malaysia.
Pelepasan GST turut diberikan kepada syarikat di dalam industri minyak dan gas yang mengimport pelantar minyak atau struktur terapung. Langkah ini bermula 1 Januari 2018; dan
Ketujuh: Perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan kediaman berstrata yang dibekalkan oleh Badan Pengurusan Bersama dan perbadanan pengurusan yang kini tidak dikenakan GST, diperluas untuk meliputi perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan yang dibekalkan oleh pemaju perumahan, mulai 1 Januari 2018.
Tuan Yang Dipertua,
192. PE-TUNJANG KEENAM: MEMPERSIAGA REVOLUSI PERINDUSTRIAN KEEMPAT DAN EKONOMI DIGITAL. Dunia kini di ambang The Fourth Industrial Revolution dan era digital economy, sehingga Kerajaan berusaha melaksanakan Dasar Digital Malaysia.
193. Lantaran itu, sebagai menyokong aktiviti pelaburan dan perniagaan IR 4.0, Kerajaan akan menyediakan geran sepadan sebanyak 245 juta ringgit di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan Smart Manufacturing.
194. Selanjutnya, Futurise Centre di Cyberjaya akan diperkukuhkan sebagai pusat sehenti syarikat korporat dan universiti, untuk membangunkan prototype produk serta melonjakkan daya inovasi.
195. Berkait ini Tuan Yang Dipertua, Kerajaan akan memberi galakan cukai seperti berikut:
Pertama: Melanjutkan tempoh insentif Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus ke atas kelengkapan automasi dari tahun taksiran 2018 sehingga 2020;
Kedua: Galakan Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus, untuk sektor pengilangan dan perkhidmatan berkaitan pengilangan; dan
Ketiga: Elaun Modal bagi peralatan ICT termasuk perbelanjaan pembangunan perisian komputer, layak dituntut sepenuhnya mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.
Tuan Yang Dipertua,
196. Walau semaju mana kita mengejar arus kemodenan negara, kita tetap wajib memelihara kelestarian alam sekitar, sebagai khazanah warisan tanah air anak cucu kita.
197. Berkait ini, kita terkejut dengan tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada Sabtu lepas, yang telah menimbus lebih 20 mangsa, dan 11 daripadanya disahkan meninggal dunia. Dengan tidak disangka-sangka, terbitnya serangkap keluhan, bagi meratapi peristiwa ngeri itu.
198. Yang terlebih syahdu, kerana ia dinukilkan sendiri oleh Ahli Parlimen DAP yang kita segani dari sebelah sana, Yang Berhormat Kepong, bertajuk, "Tanah Runtuh di Lereng Bukit" di ruangan Twitternya, yang berbunyi
Ibu jaga anak kan sakit,
Darah tubuh beban kesihatan,
Pemaju bina leretan bukit,
Tanah runtuh korban insan.
199. Sebetulnya, apa kias yang YB Kepong ingin sampaikan, hanya Tuhan sahaja yang tahu,...
Tuan Yang Dipertua,
200. Jadinya, untuk mempastikan pembangunan lestari, langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Lima bilion ringgit disediakan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau, bagi menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau;
Kedua: Melaksanakan Program Non-Revenue Water, untuk mengurangkan kadar purata kehilangan air dengan kos 1.4 bilion ringgit;
Ketiga: Membina Off-River Storage sebagai sumber air alternatif dengan kos 1.3 bilion ringgit; dan
Keempat: 517 juta ringgit disediakan untuk rancangan tebatan banjir di seluruh negara.
201. Berbalik kepada hal ekonomi digital, Malaysia bakal memiliki Digital Free Trade Zone yang pertama di luar negara China. DFTZ ini merangkumi e-Fulfilment Hub, Satellite Services Hub dan e-Service Platform bagi melonjakkan negara dalam perdagangan elektronik, dengan menjadikan KLIA sebagai gateway serantau.
202. Fasa Pertama DFTZ mensasarkan penyertaan 1,500 PKS dalam ekonomi digital dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 700 juta ringgit dengan mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan. Untuk tujuan ini:
Pertama: 83.5 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai penyediaan infrastruktur fasa satu DFTZ di Aeropolis, KLIA; dan
Kedua: Nilai de minimis bagi import, dinaikkan dari 500 ke 800 ringgit, untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab e-commerce serantau.
Tuan Yang Dipertua,
203. Selanjutnya, Kerajaan akan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk meraih manfaat inovasi, khususnya daripada cetusan idea start-up tempatan.
204. Sukacita diumumkan Kerajaan akan memperluaskan pendekatan 'regulatory sandbox' bagi memudahkan syarikat menguji idea inovatif dan model perniagaan baharu, yang akan dilaksanakan oleh semua Regulator berkaitan.
Tuan Yang Dipertua,
205. PE-TUNJANG KETUJUH: MENINGKATKAN KECEKAPAN DAN PENYAMPAIAN GLC DAN PERKHIDMATAN AWAM.
206. Selaras dengan falsafah pembangunan growth with equity, Malaysia berhasrat mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh dengan pengagihan hasil ekonomi yang lebih saksama kepada rakyat.
207. Bagi tujuan ini, syarikat GLC akan merintis teladan kepada sektor korporat melalui KPI bagi meningkatkan nisbah pampasan pekerja, selaras dengan pertumbuhan produktiviti seperti berikut:
Pertama: GLC akan meningkatkan pengagihan keuntungan kepada pekerjanya, seperti menerusi pembayaran gaji dan elaun, secara berperingkat;
Kedua: Memperkenalkan flexible benefits, yakni pekerja diberi pilihan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna, dengan menukar kelayakan cuti tahunan dan kesihatan kepada ganjaran tunai;
Ketiga: Menambah baik flexible work arrangements, untuk menggalakkan work-life balance melalui pengubahsuaian waktu bekerja mingguan, waktu kerja anjal dan kerja separa masa;
Keempat: Memperkenalkan kemudahan lepasan cuti untuk menunaikan umrah;
Kelima: Bagi menyokong ibu bapa bekerja, GLC akan menyediakan taska di pejabat utama, dan kemudahan pengurangan waktu bekerja untuk pekerja wanita yang mengandung; dan
Keenam: Meningkatkan pelaburan dalam latihan, khususnya melaksanakan kursus kemahiran digital untuk pekerja dan bantuan pendidikan untuk anak pekerja.
Tuan Yang Dipertua,
208. Berhubung hal penyampaian dalam mengutamakan kebajikan semua pihak termasuk warga emas, OKU dan kanak-kanak, sukacita Kerajaan mengumumkan bantuan 1.7 bilion ringgit kepada mereka, dan juga:
Pertamanya: Menaikkan elaun warga emas 50 ringgit menjadi 350 ringgit sebulan, memanfaatkan hampir 144 ribu orang, dengan peruntukan 603 juta ringgit; dan
Keduanya: Menaikkan elaun OKU yang bekerja, tidak bekerja dan penjaga OKU sebanyak 50 ringgit sebulan, memanfaatkan lebih 163 ribu orang dengan peruntukan 100 juta ringgit.
209. Selain itu, bagi melindungi kanak-kanak dari jenayah seksual, Kerajaan telah menubuhkan sebuah Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Pada tahun hadapan, tiga lagi mahkamah akan ditubuhkan.
Tuan Yang Dipertua,
210. Kepada penjawat awam,... bagi memudahkan mereka memiliki rumah idaman, mulai 1 Januari 2018, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam akan melaksanakan:
Pertama: Membenarkan pembiayaan LPPSA ke atas hartanah yang dibangunkan di atas tanah wakaf;
Kedua: Memasukkan yuran guaman berkaitan penyediaan perjanjian pembiayaan perumahan sebagai sebahagian daripada skop pembiayaan LPPSA;
Ketiga: Membenarkan pembiayaan perumahan bersama atau joint-loan daripada LPPSA, antara suami-isteri atau anak-anak, dengan syarat semua pemohon adalah anggota perkhidmatan awam; dan
Keempat: Membenarkan pembiayaan perumahan bersama antara suami-isteri atau anak-anak, dengan syarat, sekurang-kurangnya seorang pemohon adalah anggota perkhidmatan awam,....
Manakala pemohon bersama bukan penjawat awam perlu menggunakan pembiayaan institusi kewangan atau agensi yang mempunyai skim pembiayaan perumahan sendiri, yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua.
Tuan Yang Dipertua,
211. PE-TUNJANG KELAPAN: MENGIMBANGI PAR EXCELLENCE DUNIAWI DAN PAR EXCELLENCE UKHRAWI. Sesungguhnya, tiada siapa yang tahu dan dapat meramalkan apakah rupa bentuk, wajah dunia pada masa mendatang.
212. Tapi pastinya, Allah Hu Ta'ala menyukai hamba-hambaNya yang terus berikhtiar dengan gigih, merancang masa depan demi kepentingan negara dan ummah seluruhnya.
213. Berbekalkan mafhum Surah Al-A'raf ayat 96, di mana Tuhan akan melimpahkan rezeki dan keberkatan-Nya dari langit serta bumi, selagi penduduk dan rakyatnya beriman lagi bertaqwa.
214. Sebab itulah dalam konteks negara ini, Kerajaan mensasarkan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang:
Pertamanya: High Income Advanced Economy pada tahun 2020;
Kedua: Nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi dua trillion ringgit pada tahun 2025;
Ketiga: Menikmati impak dan manfaat IR 4.0 yang mula menampakkan kematangan signifikan pada tahun 2030;
Keempat: Watan yang lebih kompetitif lagi bersifat hampir zero defects pada tahun 2040; dan
Kelimanya: InsyaAllah,... kita akan mencapai sebuah
ketamadunan unggul di mana negara ini, bakal tersenarai dalam gelanggang kelompok 20 negara termaju lagi terbaik di persada dunia.
Tuan Yang Dipertua,
215. Hakikatnya, keluarga adalah institusi nukleus paling penting dalam membentuk nilai dan pengutuhan insan. Kerana, kesepaduan sosial lazimnya bermula daripada keharmonian dan kebahagiaan keluarga.
216. Untuk itu, Kerajaan akan mewujudkan satu entiti baru yang dinamakan Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi atau SERI di bawah JPM, dan juga menaik taraf KITA-UKM atau Institut Kajian Etnik UKM sebagai institusi kebangsaan. Peruntukan yang sewajarnya akan disediakan oleh Kerajaan.
217. SERI berperanan mengkaji dan menilai keberkesanan dasar serta pelaksanaan program juga projek pembangunan negara terhadap rakyat. Manakala KITA menyelaras pendidikan sosioekonomi peringkat negara dan mewujudkan indeks pembangunan sosial negara.
218. Sebagai analoginya, jika EPU berperanan seumpama the brain dalam menggubal dasar ekonomi, manakala, ICU sebagai hands and legs dalam pemantauan projek, maka KITA dan SERI akan berfungsi sebagai the soul or the heart. Ia mencakupi aspek kerohanian dan jiwa, nilai-nilai murni serta program berbudaya tinggi untuk membina jati diri generasi TN50 bagi menangani gejala sosial.
219. Sehubungan ini, Kerajaan sentiasa menghargai peranan NGO-NGO dan akan terus berkerjasama dengan mereka dalam menangani masalah sosial. Penekanan akan diberikan kepada institusi keluarga yang merupakan nukleus yang paling kecil, namun paling penting dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat kita.
Tuan Yang Dipertua, saudara dan saudari,
220. Saya tahu,... ramai yang ternanti-nanti pengumuman-pengumuman tertentu kepada 1.6 juta penjawat awam, sebagaimana yang saya war-warkan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 pada awal bulan ini.
221. Lantas, demi menghargai sumbangan para penjawat awam, khabar gembira yang ditunggu-tunggu itu sudah pun tiba. Saya mengumumkan:
Pertama: Kenaikan pangkat time-based kali kedua bagi kumpulan pelaksana untuk tempoh 13 tahun, selepas kenaikan kali pertama;
Kedua: Penjawat awam yang dibersarakan atas sebab kesihatan, akan menerima faedah persaraan seolah-olah pegawai berkhidmat sehingga umur persaraan wajib;
Ketiga: Membenarkan Gantian Cuti Rehat melebihi 150 hari digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan;
Keempat: Menaikkan kadar Cuti Rehat Khas bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan daripada tujuh hari kepada 10 hari setahun;
Kelima: Kerajaan buat pertama kalinya, bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi menunaikan umrah;
Keenam: Untuk memberi fleksibiliti, Kerajaan akan menambah satu lagi Waktu Kerja Berperingkat iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang;
Ketujuh: Pakar Perubatan Gred UD54 dan ke atas, yang telah diwartakan sekurang-kurangnya 4 tahun, serta memenuhi syarat tertentu, akan diberi kelonggaran satu hari seminggu untuk melaksanakan Waktu Kerja Fleksi;
Kelapan: Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas, dibenarkan pulang lebih awal sejam.
Bagi melengkapi hasrat ini, suami yang bekerja Kerajaan juga dibenarkan pulang lebih awal sejam,... syaratnya, suami dan isteri mestilah bekerja di lokasi yang berdekatan;
Kesembilan: Meningkatkan kelayakan cuti bersalin daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang perkhidmatan, tertakluk kepada maksimum 90 hari setahun;
Kesepuluh: Pembelajaran sepanjang hayat pegawai perkhidmatan awam dengan melaksanakan Kursus Sarjana dan PhD secara in-house;
Kesebelas: Menaikkan kadar pencen terendah kepada 1,000 ringgit sebulan melibatkan lebih 50 ribu pesara awam, dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan
Kedua belas: Pemanjangan kemudahan perubatan untuk ibu dan bapa kepada pesara Kerajaan.
Kesemua langkah di atas berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018.
Tuan Yang Dipertua,
222. Sebagai negara Islam yang progresif dan dinamik, Kerajaan menghargai bakti Ketua Kampung serta Tok Batin. Untuk itu, Kerajaan mengumumkan bayaran khas one-off sebanyak 1,500 ringgit melibatkan 9,800 orang. Seribu ringgit akan dibayar pada Januari 2018 dan 500 ringgit menjelang Hari Raya Aidilfitri.
223. Bagi mempastikan kawasan kejiranan sentiasa selamat dan tenteram, 40 juta ringgit diperuntukkan untuk meneruskan pemberian geran Komuniti Penduduk 1Malaysia sehingga 10 ribu ringgit kepada persatuan penduduk yang berdaftar.
224. Selain itu, 40 juta ringgit diperuntukkan untuk GiatMara melaksanakan program latihan dalam komuniti, khususnya di 50 kawasan Projek Perumahan Rakyat untuk fasa pertama.
Tuan Yang Dipertua,
225. Baru-baru ini, seluruh negara dikejutkan dengan insiden menyayat hati,... tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Itti-fa-qiyah yang mengorbankan 23 nyawa. Setulus takziah kita ucapkan kepada keluarga yang terlibat.
226. Demi memartabatkan syiar Islam dan pengutuhan jati insan, khususnya pengurusan sekolah tahfiz, diperuntukkan 50 juta ringgit kepada GiatMara bagi membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.
227. Selain itu, bagi melatih pelajar sekolah tahfiz supaya lebih berkemahiran, Skim Latihan Kemahiran GiatMara akan diperkenalkan.
228. Di samping itu, selain peruntukan 588 juta ringgit bagi bayaran elaun bulanan kepada imam, bilal, guru KAFA dan guru takmir yang diterima selama ini, untuk lebih menghargai mereka termasuk 'Tok Siak', Kerajaan sukacita mengumumkan,...
Bayaran khas one-off sebanyak 1,500 ringgit kepada mereka. Seribu ringgit dibayar pada Januari 2018 dan 500 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri, memanfaatkan lebih 65 ribu orang dengan peruntukan hampir 100 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
229. Demikianlah moga kita dapat berasakan, bak kata orang tua-tua, sejuk Dewan Parlimen Yang Mulia ini dek redup cuaca petang, agarnya Tuhan memayung-mayungi dan merahmat-rahmati pembentangan Bajet 2018 ini.
230. Mengambil iktibar daripada sirah perjuangan para Anbiya', golongan solihin dan seluruh kehebatan sejarah bangsa kita sendiri, malah, turut dipesan oleh Imam Ghazali dan Bapak Hamka bahawa,... apalah guna kita hanya kaya harta, tetapi miskin jiwa.
231. Akan tetapi, apa yang Kerajaan mahukan adalah, sebuah bangsa yang bukan sahaja hebat fizikalnya, bahkan kaya jiwa dan kaya pekertinya, yakni Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.
232. Pucuk pangkalnya, sepanjang berbulan-bulan yang lalu, segala kerja keras dan titik peluh Kerajaan secara kolektif, melibatkan semua Kementerian dan agensi, pihak swasta, NGO, para belia, kumpulan profesional, dan,... ter-amat utama pelbagai lapisan rakyat yang turut menyumbang idea dan cadangan melalui pelbagai platform dan saluran, dalam merangka Naskhah Besar ini.
233. Kerana itulah, belanjawan ini mencipta tawarikh sebagai sebuah Bajet yang paling inklusif pernah dipersembahkan.
234. Semuanya, tidak lain dan tidak bukan telah dikarang dan disusun dalam memenuhi tuntutan DHO'-RU-RIYYAT, HAA-JI-YAT dan TAH-SI-NI-YAT, demi mensejahterakan kehidupan rakyat, sekaligus memakmurkan negara.
235. Maka, Tuan Yang Dipertua serta seluruh rakyat Malaysia, pada hemah saya, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, inilah,..... belanjawan yang tidak pernah diperucapkan sedemikiannya semenjak saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara ini, kerana ianya bersifat holistik dan sarat dengan falsafah,... dan secara peribadinya,... boleh ditanda sejarah sebagai "IBU - SEGALA BAJET".
236. Sesungguhnya, bagi pihak Kerajaan, saya berani berkata demikian, kerana, pada Bajet kali ini, telah terhimpun dan terungkap dalamnya pelbagai premis yang menjadi asas kepada sebuah Bajet Komprehensif, mengambil hitung seawal kepentingan bayi yang masih dalam kandungan sehingga lahir ke dunia ini, sampailah urusan masa hadapan negara.
Tuan Yang Dipertua,
237. Oleh semuanya itu, maka, ter-Nyahlah segala apapun bentuk Keraguan, yang cuba dipolemikkan oleh Pakatan pembangkang.
238. Realitinya, pakatan pembangkang-lah sebenarnya yang selama ini,... berada dalam Keraguan. Mereka ragu dengan kepimpinan mereka,... mereka curiga-mencurigai antara satu sama lain,... malah, mereka saling guna-memperguna sesama sendiri,... dengan izin Tuan Yang Dipertua dalam Bahasa Inggeris there is no certainty in political leadership, how can they be trusted to provide a sound economic leadership.
Waima, kononnya mahu menghapuskan BR1M, kini menyokong pula,... nak meniadakan GST, tapi kini, nak mengekalkan pula dengan zero-rate dan tambah balik SST,... nak memotong cukai itu dan cukai ini,... nak menghapuskan pinjaman PTPTN, tapi kini ternyata nak diadakan kembali,... nak memperkenalkan subsidi minyak, tapi kini beralih kepada subsidi bersasar,... dengan izin sekali lagi bak kata orang putih, THE ONLY THING CONSISTENT WITH THE OPPOSITION IS THAT THEY ARE CONTINUOUSLY IN-CON-SIS-TENT.
Apa yang kita sering dengar, asyik-asyik U-turn,... asyik-asyik u-turn,... and more u-turn,... sehingga segalanya membuat pemikiran rakyat dikeliru, didamak dan diracuni.
Tuan Yang Dipertua,
239. Lalu, syukur setingginya dipanjatkan ke hadrat Allah Hu Taala, kerana berkat kegigihan usaha Kerajaan selama ini, dikurniakan hasil bagi dituai dan dinikmati oleh rakyat Malaysia sekalian.
240. Kepada Penjawat Awam, yang dinanti-nanti telah pun menjelma. Bagi menyanjung tinggi sifat wala' dan kesetiaan Tuan-Tuan dan Puan-Puan, dalam mendokong kemajuan negara serta melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap lagi berkesan kepada rakyat,... maka sukacitanya saya mengumumkan,....
Bayaran khas sebanyak 1,500 ringgit kepada semua penjawat awam. Bayaran ini akan diberikan dua kali, iaitu seribu ringgit pada awal Januari 2018, dan 500 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidil Fitri tahun hadapan.
Manakala tidak pernah dilupakan, kepada pesara
Kerajaan, bayaran khas sebanyak 750 ringgit, iaitu 500
ringgit dibayar pada Januari 2018, dan 250 ringgit lagi
menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Saudara dan Saudari Sahabat Seperjuanganku Sekalian,
241. Oleh itu, biarpun kita diherdik-herdik dan ditikam-tikam,... tak sedikit pun kan goyah Barisan ini,... kerana kita yakin bahawa, rakyat kini semakin bijak menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu intan.
242. Terlebih penting, pabila rakyat menghakimi dengan bijak nanti, dan terus bersatu hati dengan Kerajaan ini, barulah terbentang luas masa hadapan Malaysia yang cerah, saujana mata memandang.
243. Bagai disesuaikan dengan kalam Megat Terawis satu ketika dulu,... bila rakyat dan Kerajaan menjadi satu, barulah negara gagah perkasa kerana,...
Pisau di tangan kita, mentimun pun di tangan kita,... kalau nipis dihiris,... maka nipislah jadinya,... kalau tebal dihiris,... maka teballah jadinya...
Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysi
Yang Dikasihi,
244. Menyudahi kalam, dalam melakar dan mencarta titian masa depan negara, seumpama membidak buah-buah catur. Kita harus membaca gerakan dengan cermat dan mengatur strategi dengan penuh berhati-hati.
245. Dan segalanya hanya mampu diperbuat dan boleh dicapai dengan adanya kerjasama ikhlas sepasukan. Bertuahlah saya kerana mempunyai, bukan sekadar seorang Timbalan Perdana Menteri, tapi jauh daripada itu, seorang sahabat yang setia,... Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
246. Termustahak juga segala wala' dan sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada saya oleh Anggota-anggota Jemaah Menteri, Pimpinan-Pimpinan Parti Komponen dalam menakhoda bahtera Malaysia ini.
247. Lalunya, bersumpah dan berjanjilah,... bersumpah dan berjanjilah bahawa, kalaupun terpenggal putus tangan dari badan,... sekalipun lumpuh kaki tidak bermaya,... amanah dan harapan rakyat yang kita genggam jangan sekali-kali terlepas dan tergadai kepada pihak lawan.
248. Ayuhlah,... kita wajib tetap menggigit amanah yang diberikan itu, dengan taring-taring dan geraham-geraham masing-masing,... sampai ketitisan darah yang terakhir,... membawa Barisan Nasional,.... menuju kemenangan besar dalam Pilihanraya Umum Ke-14 nanti. InsyaAllah.
249. KepadaMu ya Allah, kami berdoa dan berserah. Selamat dan afiatkan tubuh Malaysia, zahir dan batin.
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
TEKS UCAPAN PENUH BAJET 2018 BAHAGIAN 1
Kenyataan Media
Fri Oct 27 2017
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 di Parlimen hari ini. Turut sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri).- FotoBERNAMA
Pemandu Mercedez terbakar, suspek langgar lari motosikal?
Pemandu kereta Mercedez Benz 45 yang terbakar di tol Wangsa Maju pada petang Ahad juga merupakan dalang kepada insiden langgar lari sebuah motosikal di Lebuhraya SPE dan telah dikenal pasti pihak polis. Perkara itu seperti yang disahkan oleh kakak mangsa Syahrizah Saini ketika dihubungi Astro AWANI yang turut memaklumkan bahawa adiknya kini dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur.
Gempa bumi dengan magnitud 6.1 gegarkan Kepulauan Tonga - GFZ
Satu gempa bumi dengan magnitud 6.1 menggegarkan Kepulauan Tonga pada pukul 1503 GMT, Ahad.
Menjelajah bawah tanah untuk 'shopping' Krismas
Musim perayaan hujung tahun tidak dinafikan menjadi musim yang paling mengujakan buat penduduk dunia. Manakan tidak, ada pelbagai acara, persembahan, hiasan berwarna warni, serta pengalaman beli-belah istimewa menanti peminat 'kaki shopping'. Di Jerman misalnya, tampil dengan kelainan tersendiri...iaitu? bazaar Krismas bawah tanah.
Presiden Yoon ingkar perintah hadir, pendakwaan akan kemuka perintah kedua
Pendakwa Raya Korea Selatan mengesahkan bahawa Presiden Yoon Suk Yeol gagal mematuhi perintah hadir yang dikeluarkan pada Ahad, sambil menambah bahawa satu lagi perintah akan dihantar tidak lama lagi.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 15 Disember 2024.
Tumpuan Isnin – 16 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Tiga lagi suspek kes bunuh lelaki di pangsapuri direman
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi ketika mengesahkan penahanan tersebut berkata, kesemua suspek rakyat tempatan, berusia antara 32 hingga 48 tahun dan ditangkap di lokasi berbeza. #AWANInews
Lima anggota 'Bali Nine' sudah kembali ke Australia
Lima anggota 'Bali Nine' yang menjalani hukuman pemenjaraan seumur hidup di Indonesia sudah dipindahkan ke negara asal mereka, Australia. Perkara itu seperti yang disahkan Perdana Menteri Anthony Albanese yang memaklumkan lima warganya itu yang diberkas pihak berkuasa dalam kegiatan penyeludupan dadah di pulau peranginan terkenal, Bali pada April 2005.
Lima maut, puluhan migran hilang di Pulau Gavdos
Lima individu terkorban dalam kejadian bot migran yang terbalik di perairan Greece awal pagi Sabtu. Menurut Kementerian Luar Pakistan pada Ahad, 47 warganya dapat diselamatkan dalam tragedi yang berlaku berhampiran Pulau Gavdos di selatan Crete itu.
Parti pemerintah Korea tolak cadangan badan perundingan
Ketua Whip Parti Kuasa Rakyat Korea Selatan, Kweon Seong-dong, pada Ahad menegaskan bahawa parti pemerintah telah menolak cadangan parti pembangkang utama untuk menubuhkan badan perundingan bagi menstabilkan pentadbiran negara
Isu pekerjaan, kos sara hidup harapan generasi muda
Generasi muda mahu supaya isu peluang pekerjaan dan kos sara hidup menjadi antara intipati utama kerajaan pada pembentangan Bajet 2019, yang dijadualkan bulan depan.
PIKOM gesa kerajaan tangani isu jejas pertumbuhan industri ICT
Dengan kerajaan baru mengemudi negara, penekanan dan masa perlu diberikan untuk melaksanakan inisiatif bagi pertumbuhan industri serta menawarkan pelbagai faedah untuk sektor industri lain.
Kaji semula Pangkor sebagai pulau bebas cukai - MB Perak
Cadangan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai perlu dikaji semula sebelum memutuskan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak.
ADAM50: Tahniah! Bayi Nora Danish, Siti Nurhaliza bakal terima insentif RM200
Lima artis popular tempatan bakal menerima RM200 di bawah skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).
Kad Diskaun Siswa: 3 perkara yang diinginkan mahasiswa
Berikut tiga perkara yang diinginkan mahasiswa untuk penambahbaikan kad siswa, terutamanya jika kerajaan berhasrat untuk membuka permohonan kepada pelajar baharu.
Hit #mythrowbaek2017 anda
Sudah 60 tahun berlalu sejak laungan kemerdekaan -Merdeka- bergema di Dataran Merdeka, Melaka. Tahun 2017 merupakan tahun yang mencatatkan banyak pencapaian yang cemerlang. Apa #mythrowbaek2017 anda?
Pemandu e-hailing boleh peroleh RM7,000 sebulan, tanpa enjin elektrik. Kenapa?
Pemandu teksi tiada pilihan kecuali memikirkan pendekatan lebih inovatif untuk kekal relevan dalam mendepani realiti masa depan.
Pendidikan peringkat rendah dan menengah masa kini percuma - PM Najib
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kos pendidikan di peringkat rendah dan menengah bagi ibu bapa pada masa kini adalah percuma dengan kerajaan membelanjakan purata RM8,900 bagi setiap pelajar setahun.
TVET mampu lonjak Malaysia setaraf Jerman
Kerajaan mahu perkasa pembangunan modal insan Malaysia setaraf Jerman melalui TVET
Pelaburan dilulus turun 26 peratus bagi sembilan bulan pertama
Malaysia merekodkan pelaburan dilulus bernilai RM113.5 bilion melibatkan sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama bagi tempoh 9 bulan pertama 2017.