KUALA LUMPUR:Proton Holdings Berhad menegaskan tidak pernah melantik mana-mana pihak di luar rangkaian jualan rasminya sebagai ejen jualan.

Sebaliknya, pengeluar kenderaan pertama negara itu memaklumkan, ia hanya menerima tempahan menerusi rangkaian jualan Proton rasmi.

"Malangnya, kami dimaklumkan bahawa ada pihak telah memberi gambaran yang tidak benar dengan mengatakan mereka adalah ejen Proton ataupun mempunyai kaitan dengan Proton demi mengaut keuntungan.

"Pihak Proton ingin menegaskan bahawa hanya tempahan yang diterima melalui rangkaian jualan Proton yang rasmi akan diakui sebagai tempahan yang sah.

"Proton tidak pernah melantik mana-mana pihak di luar rangkaian jualan rasminya sebagai ejen jualan produk kami," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, ada pihak memberi gambaran palsu mendakwa mereka ejen Proton yang boleh menerima tempahan model terbaharu X50.

"Pelancaran Proton X50 yang bakal berlaku tidak lama lagi telah menarik minat ramai pembeli kereta di Malaysia.

"Jumlah tempahan awal yang telah diterima amat memberangsangkan dan pihak Proton ingin mengucapkan terma kasih kepada semua yang memberi sokongan," katanya.


Proton dalam pada itu menasihati semua bakal pembeli supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang tuntutan dari individu atau organisasi.

Pada masa sama, ia memohon semua pelanggan menghubungi pihak Proton untuk sebarang kemusykilan.

Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi rangkaian jualan rasmi Proton, sila layari laman web rasmi proton di https://www.proton.com/en/dealer-locator atau hubungi talian khidmat pelanggan di 1-800-88-8398.