BISNES
Terengganu bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM1.938 bilion dengan lebihan RM60 juta
Ahmad Samsuri (tengah) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali (kiri) dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Azmi Mohamad menunjukkan buku belanjawan kerajaan Terengganu pada Persidangan DUN Terengganu. - Gambar Bernama
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan 2026, belanjawan lebihan 3.0 peratus atau RM60 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM1.998 bilion berbanding perbelanjaan mengurus berjumlah RM1.938 bilion.
Ringkasan AI
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membentangkan belanjawan bertemakan "Memacu Potensi Melonjak Prestasi" pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini.
"Belanjawan 2026 ini memperuntukkan sejumlah RM1.938 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus termasuk RM450 juta bagi perbelanjaan pembangunan dengan hasil dianggarkan berjumlah RM1.998 bilion," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga komited untuk meningkatkan hasil janaan negeri kepada RM288.59 juta, iaitu RM85.36 juta daripada Hasil Cukai dan RM203.23 juta daripada Hasil Bukan Cukai, di samping RM1.709 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil menjadikan keseluruhan hasil berjumlah RM1.998 bilion.
Ahmad Samsuri berkata sektor sosial kekal menerima peruntukan terbesar, iaitu RM323.80 juta atau 72 peratus daripada keseluruhan Perbelanjaan Pembangunan.
"Peruntukan untuk sektor ekonomi ditambah kepada RM92.84 juta atau 20.6 peratus berbanding hanya 4.4 peratus dalam Belanjawan 2025, manakala peruntukan untuk sektor pentadbiran pula sebanyak RM33.37 juta atau 7.4 peratus," katanya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata setakat 31 Okt lepas, kerajaan negeri telah menjana hasil berjumlah RM261.61 juta termasuk sumber air atau 93.0 peratus daripada yang dianggarkan bagi tahun ini dan lebih tinggi sebanyak RM16.62 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
"Perbelanjaan pula adalah sebanyak RM1.416 bilion, iaitu lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan hasil sekali gus berjaya mengelakkan defisit fiskal dan mengekalkan ketersampaian perkhidmatan," katanya.
Menteri Besar berkata beliau menetapkan keutamaan kerajaan negeri pada tiga fokus, iaitu Memperkemas Tadbir Urus Kerajaan bagi Meningkatkan Keberhasilan; Menstruktur Daya Tahan Ekonomi bagi Memacu dan Melestarikan Keperluan Sosial bagi Menjamin Kesejahteraan Inklusif.
Ahmad Samsuri berkata bagi memberdayakan pertumbuhan ekonomi, kerajaan negeri akan menumpukan kepada pelaburan dan perindustrian bernilai tinggi dan perdagangan strategik serta pemerkasaan industri halal.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga akan memendekkan tempoh proses permohonan pajakan tanah; memberikan diskaun dan memperkenalkan pembayaran berjadual harga pajakan tanah; menaik taraf kawasan perindustrian dan membangunkan aplikasi Terengganu Geographic Information System.
Bagi menstabilkan akses kepada barang makanan, Ahmad Samsuri berkata pihaknya menumpukan usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, membangunkan rantaian nilai makanan dan melestarikan pendidikan kepenggunaan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pelbagai program dan projek berimpak tinggi Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 akan dilaksanakan meliputi pengurusan sumber semula jadi secara mampan, penggunaan teknologi hijau serta penglibatan komuniti tani.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan sektor pertanian kekal produktif, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan mampu menyumbang secara berterusan kepada sekuriti makanan serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Ahmad Samsuri berkata pelbagai aktiviti dan kempen juga akan diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya menjauhi dan memerangi jenayah sama ada sivil atau syariah, dan antara yang menjadi keutamaan ialah Karnival Indahnya Hidup Bersyariat, Kempen Cegah Sebelum Parah dan program kesedaran kecelaruan orientasi seksual serta kesihatan mental dalam kalangan warga sekolah.
"Selain akan menggubal enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah dalam talian bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dan undang-undang diambil untuk membendung kesalahan berkenaan, kerajaan negeri juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu melibatkan pelbagai entiti kerajaan negeri bagi meningkatkan pemantauan," katanya.
-- BERNAMA
Ringkasan AI
- Belanjawan 2026 Terengganu mencatat lebihan 3.0 peratus atau RM60 juta dengan hasil anggaran RM1.998 bilion berbanding perbelanjaan mengurus RM1.938 bilion, menumpukan sektor sosial menerima peruntukan terbesar.
- Menteri Besar menetapkan tiga fokus utama, iaitu Memperkemas Tadbir Urus Kerajaan, Menstruktur Daya Tahan Ekonomi, dan Melestarikan Keperluan Sosial bagi Kesejahteraan Inklusif.
- Usaha kerajaan negeri termasuk pelaburan dalam perindustrian bernilai tinggi, pemerkasaan industri halal, meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, dan memerangi jenayah sivil serta syariah, serta meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan warga sekolah.