Thailand, ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara, menurunkan unjuran pertumbuhan ekonominya bagi 2020 selepas mencatatkan kadar paling perlahan dalam tempoh lima tahun pada 2019.

Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan (NESDC) Thailand merendahkan jangkaan bagi pertumbuhan ekonomi 2020 kepada 1.5 hingga 2.5 peratus daripada 2.7 hingga 3.7 peratus susulan kebimbangan mengenai penularan jangkitan COVID-19, yang menjejaskan eksport dan mewujudkan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

Thailand turut menurunkan prospek pertumbuhan eksportnya kepada 1.4 peratus daripada 2.3 peratus yang diunjurkan pada November lepas.

Setiausaha Agung NESDC Tossaporn Sirisamphan berkata ekonomi negara berkembang 2.4 peratus pada 2019, pertumbuhan paling perlahan sejak 2014.

Beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2019 berkembang 1.6 peratus, susut daripada 2.6 peratus yang direkodkan pada suku ketiga 2019 berikutan penurunan eksport, perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan dan pelaburan awam.

"Ekonomi berkembang 0.2 peratus berdasarkan tahun ke tahun pada Oktober hingga Disember, di bawah jangkaan pertumbuhan 0.4 peratus," katanya semasa taklimat media di sini pada Isnin.

Sirisamphan berkata jangkitan COVID-19 dijangka menjejaskan sektor pelancongan Thailand, mengurangkan jumlah ketibaan pelancong kepada 37 juta tahun ini daripada 39.8 juta tahun lepas.

"Unjuran itu berasaskan jangkaan ke atas pertumbuhan sektor pelancongan sekiranya jangkitan berkenaan berakhir pada Jun, namun jika sebaliknya pertumbuhan mungkin lebih perlahan daripada 1.5 peratus," katanya.

Beliau berkata faktor lain yang akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi Thailand ialah kemarau, kelewatan pengagihan peruntukan belanjawan dan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

Lembaga Pelancongan Thailand pula mengunjurkan jumlah pelancong asing susut sebanyak lima juta tahun ini serta kerugian perolehan pelancongan boleh mencecah 500 bilion baht.

Ramai penganalisis menjangkakan Bank of Thailand (BoT) akan mengurangkan lagi kadar faedah untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.

Pada 5 Feb, BoT mengumumkan pengurangan kadar dasar bagi kali ketiga dalam tempoh enam bulan susulan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi perlahan disebabkan jangkitan COVID-19 dan kelewatan fiskal Belanjawan 2020.

Semasa mesyuarat pertama bagi tahun ini, Jawatankuasa Dasar Monetari BoT sebulat suara mengundi untuk mengurangkan kadar dasar sebanyak 25 mata asas sekali gus mencatatkan kadar terendah baharu 1.0 peratus berkuat kuasa serta-merta. Ia merupakan paras terendah sejak 2010.

BoT akan menyemak dasar monetari seterusnya pada 25 Mac.

-- BERNAMA