[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
BISNES

Tiada gangguan bekalan LNG ketika ini di kemudahan Bintulu - PETRONAS

Bernama 08/09/2025 | 22:30 MYT
PETRONAS berkata, operasi gas asli cecair syarikat itu tidak terjejas dan tiada gangguan bekalan di kemudahan LNG miliknya di Bintulu, Sarawak.
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) berkata, operasi gas asli cecair (LNG) syarikat itu tidak terjejas dan tiada gangguan bekalan di kemudahan LNG miliknya di Bintulu, Sarawak.

Dalam satu kenyataan di sini, malam tadi, syarikat minyak nasional itu berkata, ia mengambil maklum pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung potensi risiko keselamatan di kemudahannya di Bintulu.

"Kami memandang serius perkara sebegini dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa untuk menilai serta menangani situasi berkenaan.

"Pada masa ini, operasi kami tidak terjejas dan bekalan kami tidak mengalami sebarang gangguan. Perlu diyakini bahawa keselamatan dan kesejahteraan pekerja, kontraktor dan komuniti di sekeliling kami terus menjadi keutamaan kami," kata PETRONAS.

Terdahulu, MKN memaklumkan, kerajaan telah mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu diperketatkan kawalan keselamatan susulan ancaman keselamatan terhadap kemudahan berkenaan.

-- BERNAMA




#Petronas #kemudahan LNG #Bintulu #Majlis Keselamatan Negara