KUALA SELANGOR: Kabinet tidak membuat perbincangan untuk mengembalikan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut beliau, perkara itu perlu dijelaskan memandangkan apa sahaja cukai baharu perlu diluluskan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

“Apa-apa cukai baharu mesti diluluskan oleh Kabinet yang kemudian itu akan dibentangkan sebagai Rang Undang-undang di Parlimen untuk diluluskan dan sebelum Parlimen dibubarkan baru-baru ini tidak ada kelulusan Kabinet pun mengenai GST,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Keluarga Kemas Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan pemimpin Pakatan Harapan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memperkenal GST sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Tambah Tengku Zafrul, sekurang-kurangnya, 160 buah negara di dunia telah melaksanakan GST .

Dalam masa sama, beliau mengakui, pelaksanaan GST lebih berkesan, kurang ketirisan selain hasil kutipan cukai itu bermatlamat membangunkan sesebuah negara selain membantu rakyat.

“Kita lihat kutipan cukai kita berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)  adalah paling rendah sekarang, lebih kurang 11 peratus itu agak rendah. Ini menunjukkan apa yang kita ada sekarang tidak efisien.

“(Namun) ini tidak bermakna, kita akan mengemukakan cukai baharu dalam masa terdekat, ia harus dibincangkan di peringkat Kabinet dan perlu melihat masa yang sesuai atau tidak,” katanya.

Untuk rekod, GST dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar 6 peratus.

Ia kemudian dimansuhkan dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 September 2018.