Tiada rancangan GST untuk biayai Bajet 2023 buat masa ini - Menteri Kewangan

Firdaus Azil
Oktober 7, 2022 11:30 MYT
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjawab soalan wartawan dalam sidang media selepas membentangkan Bajet 2023 di Parlimen, hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa (kanan). - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan belum mempunyai perancangan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan jualan (GST) bagi membiayai Bajet 2023 buat masa ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bercakap dalam sidang media selepas membentangkan Bajet 2023 di Parlimen, hari ini, beliau berkata, perkara itu mungkin akan dibincangkan Kabinet kelak bergantung kepada keadaan ekonomi tahun hadapan.
“Tidak! Kita tidak umumkan pengembalian GST dalam Bajet 2023. Kita mungkin akan bincangkan perkara itu di dalam Kabinet … bergantung kepada keadaan ekonomi tahun hadapan,” katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika diminta mengulas perancangan kerajaan mengenai GST, bagi membiayai Bajet 2023.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ekonomi dunia pada tahun hadapan akan menyusut dan Malaysia tidak terkecuali daripada terkena tempias itu.
Namun, beliau berkata, perolehan kerajaan pada tahun ini banyak dibantu oleh dividen yang dibayar Petronas, iaitu sekitar RM50 bilion.
“Tahun depan kita tak boleh jangkakan (jumlah dividen) yang sama, jadi mungkin perolehan kerajaan sedikit berkurangan. Dari segi potongan cukai, ya ia akan mempunyai sedikit impak, tetapi lebihan pendapatan itu akan menghasilkan kesan berganda terhadap ekonomi terutamanya potongan cukai untuk M40,” katanya lagi.
#Bajet 2023 #GST #cukai barangan dan jualan #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz