Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memutuskan bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk meneruskan cadangan undang-undang bagi menubuhkan anak syarikat Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia RegSub) untuk mengambil alih fungsi pengawalseliaan yang kini dijalankan syarikat induk bursa itu.
Bursa Malaysia dalam kenyataan di laman webnya pada Jumaat memaklumkan telah menerima surat daripada SC bertarikh 19 Mac 2026 untuk tidak meneruskan cadangan penubuhan Bursa Malaysia RegSub.
Advertisement
Cadangan berkenaan pertama kali diumumkan pada 25 Feb 2020 untuk memperkukuh rangka kerja tadbir urus konflik kepentingan (COI) kumpulan dengan penentuan yang lebih jelas mengenai fungsi pengawalseliaan dan operasi komersial berikutan peranan Bursa Malaysia sebagai operator pasaran, pengawal selia dan syarikat yang disenaraikan di bursa sendiri.
SC dalam surat itu memaklumkan, selepas pengumuman itu, Bursa Malaysia telah memperkukuh rangka kerja COI dengan menyenaraikan antara lain, cadangan berkaitan Bursa Malaysia RegSub dalam model tadbir urusnya.
“Berdasarkan penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh Bursa Malaysia setakat ini, SC berpendapat tiada keperluan untuk meneruskan cadangan undang-undang itu buat masa ini, dan akan terus memantau serta menilai keberkesanan struktur tadbir urus semasa,” kata Bursa Malaysia.
Antara penambahbaikan itu adalah komposisi keahlian, fungsi dan struktur tadbir urus Jawatankuasa Kawal Selia dan Konflik (RACC), seperti meningkatkan tahap kebebasan RACC berbanding pengurusan Bursa Malaysia.
RACC pada masa ini terdiri daripada majoriti ahli luar termasuk pengerusi jawatankuasa.
“SC mengambil pendirian bahawa struktur RACC semasa yang diperkukuh ini adalah memadai dan praktikal untuk memastikan pelaksanaan fungsi pengawalseliaan Bursa Malaysia yang berkesan,” kata Bursa Malaysia.
-- BERNAMA