BISNES
Time Energy, AIMS meterai MOU inisiatif komuniti solar Malaysia pertama untuk pusat data

Time Energy dan AIMS Group menandatangani Memorandum Persefahaman bagi pelancaran skala kecil inisiatif solar komuniti pertama Malaysia bagi pusat data di bawah CREAM. - Foto AIMS Group
KUALA LUMPUR: Unit tenaga boleh baharu Time dotCom, Time Energy Sdn Bhd telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan AIMS Group untuk pelancaran skala kecil inisiatif solar komuniti pertama Malaysia bagi pusat data di bawah Mekanisme Agregasi Tenaga Boleh Baharu Komuniti (CREAM).
Ringkasan AI
- Kerjasama Solar Komuniti Pertama di Malaysia - Time Energy dan AIMS Group menandatangani MOU untuk melancarkan inisiatif solar komuniti pertama negara di bawah mekanisme CREAM, melibatkan pusat data AIMS di Cyberjaya.
- Penduduk Boleh Sewa Bumbung untuk Jana Tenaga - Rumah dalam radius 5km dari pusat data boleh menyewakan bumbung kepada Emit Solar, yang akan pasang dan kendali sistem solar untuk menjana tenaga dan jual kepada AIMS.
- Sokong Tenaga Bersih & Pendapatan Tambahan - Inisiatif ini bantu penduduk jana pendapatan tambahan sambil menyokong matlamat tenaga boleh baharu Malaysia dan mengurangkan jejak karbon.
Time Energy berkata AIMS adalah pembeli korporat pertama di bawah mekanisme CREAM.
"CREAM membolehkan kebanyakan isi rumah, termasuk mereka yang mempunyai penggunaan elektrik yang lebih rendah, mengambil bahagian dalam usaha RE negara dengan menjana tenaga solar untuk pembeli korporat, menyumbang kepada gabungan tenaga bersih selain memperoleh pendapatan tambahan," katanya melalui satu kenyataan semalam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Time Energy (CEO) Arjun Arasu, model CREAM membolehkan isi rumah menjana dan menjual tenaga solar kepada pembeli korporat.
"Kami berharap dapat membawa solar ke lebih banyak rumah, jadi lebih banyak orang boleh terlibat dalam membantu Malaysia mencapai matlamat RE," katanya.
CEO AIMS Chiew Kok Hin pula berkata syarikat itu mahu mengurangkan jejak karbon pusat datanya dengan meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.
"CREAM menawarkan alternatif kepada sumber tenaga bersih sambil menggalakkan penglibatan masyarakat dalam peralihan sifar bersih termasuk menyokong matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus," katanya.
MOU itu ditandatangani dengan kehadiran Setiausaha Bahagian Bekalan Elektrik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Anuar Zaki Bakar, yang mewakili Ketua Setiausaha kementerian tersebut.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami