KUALA LUMPUR: “Dalam memacu progres ke arah mencapai sebuah negara berpendapatan tinggi, kita perlu mengubah mindset rakyat Malaysia terhadap kepentingan pembelajaran dan latihan dalam meningkatkan kebolehpasaran diri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI baru-baru ini.

Shahul berkata, dengan menanam budaya pembelajaran bermula dari peringkat awal dalam kalangan rakyat Malaysia, ia mampu membekalkan mereka dengan nilai yang diperlukan ketika berkhidmat di sesebuah organisasi atau syarikat.

“Perkara ini dapat membantu negara menangani isu ketidakpadanan kemahiran selain membuka laluan untuk memupuk bakat tempatan yang lebih berdaya saing. Ia sekali gus menyokong kepada usaha mentransformasikan Malaysia sebagai negara ekonomi maju menerusi pembangunan modal insan yang kukuh.

“Dalam jangka masa panjang, ia akan menterjemahkan kepada aktiviti ekonomi nilai tambah dan meletakkan negara kita pada kedudukan terbaik serta stabil bagi menarik pelaburan langsung asing yang berkualiti,” ujarnya.

Berdasarkan Global Competitiveness Report yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini, Malaysia berada pada kedudukan ke-25 di antara 141 ekonomi.

Agenda AWANI: Local Human Capital Development: Driving Malaysia Forward

Menurut Shahul, dalam memanifestasikan aspirasi kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2026, terdapat beberapa isu yang perlu ditangani bagi meningkatkan nilai berdaya saing dalam kalangan tenaga kerja tempatan.

“Malaysia mempunyai sistem pendidikan yang sangat berstruktur dalam menghasilkan graduan berkualiti tinggi setiap tahun, bagaimanapun situasi itu seperti sia-sia sekiranya kita tidak mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara efektif kepada mereka.

“Kerana pada kami, pekerja yang secara konsisten menaik taraf dan mengemaskini set kemahiran mereka mampu meningkatkan produktiviti serta memenuhi permintaan industri. Ia turut merapatkan jurang kemahiran yang dihadapi industri ketika ini,” jelasnya.

Melihat kepada perkara tersebut, Kementerian Sumber Manusia bersama agensi di bawahnya, HRD Corp baru-baru ini melaksanakan inisiatif Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023, selama seminggu secara percuma yang berakhir pada 28 Mei lalu.

NTW adalah satu inisiatif kerajaan dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kemahiran pekerja dalam pelbagai bidang bagi mendapatkan gaji serta prospek pekerjaan yang lebih baik.

Ia juga dianjurkan selepas mengambil kira jurang kemahiran yang semakin melebar serta dorongan perlahan ke arah celik digital dalam kalangan penduduk negara ini menjadi antara beberapa faktor yang memperlahankan kemajuan dan daya saing negara.

Pada majlis kemuncak NTW baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar dalam ucapannya berkata, NTW 2033 merekodkan 21,052 kursus, melibatkan 103,823 penyertaan dan 404,312 jam latihan setakat hari sebelumnya.

Malah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika majlis sama berkata, NTW akan diadakan setiap tahun kerana ia dilihat secara berkesan membantu meningkatkan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja di Malaysia.