KUALA LUMPUR: Tinjauan perniagaan Malaysia dilihat kekal positif dalam tempoh enam bulan akan datang dari April hingga September 2023, dengan imbangan bersih +14.9 peratus daripada +12.1 peratus yang dicatatkan sebelum ini, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, jabatan itu berkata sektor perkhidmatan menunjukkan sektor paling optimistik, mencatatkan imbangan bersih yang bertambah baik sebanyak +30.1 peratus berbanding +28.0 peratus bagi separuh pertama 2023, dengan semua subsektor perkhidmatan meramalkan keadaan perniagaan yang menggalakkan sepanjang enam bulan akan datang.

Pada masa yang sama, ia berkata sektor industri mencatatkan imbangan bersih yang lebih cerah dengan +15.6 peratus dalam enam bulan akan datang berbanding +2.4 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

"Sebaliknya, sektor pembinaan menjangkakan situasi perniagaan yang kurang menggalakkan untuk enam bulan akan datang, berakhir September 2023 dengan imbangan bersih sebanyak -7.7 peratus daripada +7.1 peratus sebelumnya.

"Begitu juga, sentimen dalam sektor perdagangan borong dan runcit berubah pesimistik dengan imbangan bersih -4.7 peratus berbanding +16.7 peratus yang dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2023," katanya.

Bagaimanapun, jabatan itu mengatakan bahawa sentimen perniagaan untuk jangka masa pendek bertukar pesimistik apabila petunjuk keyakinan menurun kepada -3.1 peratus pada suku tahun kedua 2023 daripada +3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.

DOSM dalam laporan statistik kecenderungan perniagaan terbaharunya hari ini berkata jangkaan ini adalah selari dengan kelembapan ekonomi global yang berterusan termasuk tekanan inflasi.

Ia menyatakan tiga sektor iaitu sektor pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta industri menjangkakan keadaan perniagaan yang mencabar pada suku tahun kedua 2023.

Keyakinan perniagaan bagi sektor pembinaan kekal di trajektori negatif dengan petunjuk keyakinan mencatatkan -26.9 peratus pada suku tahun rujukan, manakala sektor perdagangan borong dan runcit serta industri berubah pesimistik pada suku tahun yang sama, katanya.

"Responden dalam sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan prospek perniagaan yang kurang menggalakkan dengan petunjuk keyakinan sebanyak -10.2 peratus pada suku tahun kedua 2023 berbanding +4.0 peratus pada suku yang lepas, dengan kedua-dua subsektor mencatatkan persepsi yang tidak menggalakkan.

"Sektor industri juga meramalkan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan pada suku tahun kedua 2023 apabila petunjuk keyakinan merekodkan -2.1 peratus daripada +1.1 peratus sebelumnya," katanya.

DOSM juga menyatakan sektor perkhidmatan terus optimistik terhadap prestasi perniagaan dengan petunjuk keyakinan +3.9 peratus pada suku tahun yang sama berbanding +11.4 peratus pada suku tahun pertama 2023.

-- BERNAMA