TM One pacu usaha pendigitalan sektor perusahaan dan kerajaan melalui dua makmal baharu di Cyberjaya.

Astro Awani
Februari 22, 2024 02:40 MYT
Dari kiri: Shazurawati Abdul Karim (EVP TM One), Rossana Annizah (BOD TM), Amar Huzaimi Md Deris (GCEO TM), YB Gobind Singh Deo (Menteri Digital), Dato’ Zainal Abidin Putih (Chairman TM), Balasingham (BOD TM), Ahmad Taufek (BOD TM) Gambar – TM One
UNIT penyelesaian perniagaan perusahaan dan kerajaan Telekom Malaysia (TM), TM One melancarkan makmal inovasi dan makmal perusahaan 5G untuk memperkasa serta membantu mempercepatkan pendigitalan sektor perusahaan dan kerajaan.
Naib Presiden Eksekutifnya, Shazurawati Abd Karim berkata iniasitif tersebut adalah usaha berterusan TM One bagi membina ekosistem kerjasama pemain industri dalam memacu kemajuan digital yang saksama.
Menurutnya, kedua-dua makmal itu menyediakan ruang yang selamat dan kolaboratif di mana TM One, para pelanggan dan rakan kongsinya boleh merealisasikan idea mereka menjadi penyelesaian yang sesuai serta mewujudkan peluang dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini.
“Di sini para kolaborator khususnya pemain industri penyelesaian boleh membawa masuk dan menguji sendiri senario kes sebenar baharu sebelum digunakan secara langsung.
“Sudah tentu makmal ini juga mampu berfungsi sebagai hab perkongsian pengetahuan melalui penganjuran bengkel dan seminar di mana pemain industri terkemuka atau syarikat pemula boleh berkongsi dapatan mereka bagi memanfaatkan satu sama lain,” kata Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Pengerusi TM, Datuk Zainal Abidin Putih di Akademi Digital TM, Cyberjaya pada Selasa.
Jelasnya, makmal inovasi memberi tumpuan kepada penyelesaian Internet Pelbagai Benda (IoT) dengan keupayaan Kepintaran Buatan (AI) terkini berlandaskan empat domain utama iaitu Bandar Pintar, Industri Pintar, Penjagaan Kesihatan Pintar dan Pertanian Pintar.
Manakala makmal perusahaan 5G pula menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan 5G melalui kes-kes penggunaan khusus industri yang bakal membantu dalam merevolusi tiga sektor utama iaitu Industri Tenaga, Industri Berat dan Pelabuhan.
Mengulas lanjut, Shazurawati berkata iniasitif ini juga dapat mengukuhkan lagi peranan TM One sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk organisasi yang ingin memanfaatkan teknologi digital dan memacu pertumbuhan serta transformasi dalam sektor perusahaan dan kerajaan.
“Banyak yang boleh kami lakukan untuk membawa perusahaan dan kerajaan Malaysia ke tahap yang seterusnya dengan meneroka bidang transformasi digital, penyelesaian pintar, AI dan 5G.
“Pelanggan boleh meneroka potensi pendigitalan sebenar dengan memanfaatkan kebanyakan penyelesaian pintar dan 5G TM One dan di sini, kami sentiasa bersedia untuk keberjasama dengan rakan kongsi digital dan membimbing transformasi digital para pelanggan kami bagi membantu mereka meningkatkan kecekapan kos, operasi, produktiviti dan keselamatan,” tambahnya.
Melengkapkan inisiatif pendigitalan ini ialah program perkongsian TM One 5G Sphere dengan lebih 50 rakan kongsi tempatan dan global untuk membentuk ekosistem yang akan mempercepatkan penciptaan bersama kes gunaan inovatif 5G dan TM One SandBox yang menyediakan ruang operasi selamat buat rakan kongsi dan pelanggan dalam membangunkan penyelesaian pintar yang sesuai.
#TM ONE #Naib Presiden Eksekutif #Makmal Inovatif #Makmal 5G #Shazurawati Abd Karim #Menteri Digital