KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyeru kepada semua Syarikat Senaraian Awam (PLC) agar mengambil bahagian dalam Program Transformasi Syarikat Tersenarai Awam (PLCT) yang dilancarkan, pada Rabu. 

Jelasnya, program dipelopori Bursa Malaysia Berhad itu dijangka dapat meningkatkan prestasi PLC di negara ini selaras dengan ekonomi, permintaan dan pelaburan global ketika ini.

"Menjadi salah satu kunci dalam memastikan ekonomi Malaysia berdaya tahan adalah dengan memperkukuhkan PLC sekaligus daya saing dalam pasaran dapat dipertingkatkan. Syarikat itu sendiri boleh berkembang serta pelaburnya kekal.

"Inilah matlamat Program Transformasi PLC dalam menjadi pemangkin prestasi dan pertumbuhan dalam PLC dan syarikat dalam ekosistem mereka, serta menyelaraskannya dengan aliran global terkini, permintaan pelabur dan jangkaan pemegang taruh," jelasnya.

Sehingga kini, jelasnya, sejumlah 950 PLC tersenarai dalam Bursa Malaysia meliputi pelbagai sektor ekonomi.

Justeru, jelas Tengku Zafrul, amat penting untuk setiap PLC di negara ini melalui proses transformasi menerusi program berkenaan dalam memastikan agenda pemulihan, pembaharuan dapat dijalankan.

Mengulas lanjut mengenai program itu, jelasnya, PLCT  akan dilaksanakan selama tiga tahun sehingga 2025 itu meliputi lima panduan buku digital kepada setiap PLC yang terlibat.

"Program ini dijangka memberi lebih kesedaran akan tujuan dan prestasi sesebuah PLC, meningkatkan nilai ketelusan, memupuk amalan kelestarian, meningkatkan hubungan pemegang taruh dan pelabur.

"Disamping itu dapat mengalakkan penggunaan dunia digital dan memacu pembangunan bakat serta mengukuhkan pembinaan negara," jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Program Transformasi Syarikat Tersenarai Awam (PLCT) di ibu negara pada Rabu.

Hadir sama menyaksikan pelancaran, Ketua Pengawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.