Skip to main content

Bisnes

TransNusa lancar penerbangan terus dari Lampung ke Kuala Lumpur

Sumber: TransNusa
TransNusa melakar sejarah dengan kejayaan penerbangan sulung yang menghubungkan Bandar Lampung secara terus dengan Kuala Lumpur, 24 Ogos 2026. - Foto TransNusa
Advertisement

PUTRAJAYA: Tourism Malaysia dengan kerjasama TransNusa Airlines dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyambut ketibaan penerbangan sulung dari Lampung, Indonesia ke Kuala Lumpur pada Isnin, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian dalam memperkukuh hubungan serantau sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.

Penerbangan terus TransNusa menggunakan pesawat C909 berkapasiti 95 tempat duduk kelas ekonomi itu mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang membawa Gabenor Lampung Rahmat Mirzani Djausal selaku tetamu kehormat, dengan laluan berkenaan dijadualkan beroperasi tujuh kali seminggu.

Majlis menyambut ketibaan penerbangan itu dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Lee Thai Hung, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa Datuk Bernard Francis dan Pengurus Besar Kanan MAHB Abd Hasman Abd Muhimin.

Laluan baharu itu dijangka meningkatkan akses antara Indonesia dan Malaysia, selain membuka peluang baharu dalam bidang pelancongan, perdagangan dan kerjasama ekonomi.

Lee dalam kenyataan hari ini berkata penerbangan terus itu akan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara pemain industri pelancongan kedua-dua negara, selain meningkatkan ketibaan pelawat dari Wilayah Lampung ke Malaysia.

"Dengan masa perjalanan lebih singkat dan akses lebih mudah, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi destinasi pilihan pelancong dari Lampung bagi menikmati pelbagai pengalaman percutian, termasuk kekayaan warisan budaya, tarikan semula jadi, pengalaman gastronomi bertaraf dunia, destinasi beli-belah moden serta pelbagai tarikan mesra keluarga,” katanya.

Sementara itu, Bernard berkata pelancaran penerbangan Lampung-Kuala Lumpur menandakan lembaran baharu dalam pengembangan operasi TransNusa, sekali gus menawarkan laluan yang belum diterokai dengan memberi kemudahan kepada pelancong untuk menikmati keindahan Lampung termasuk pantainya yang menarik.

Dari Januari hingga Jun 2026, Malaysia merekodkan 21.1 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 2.5 peratus berbanding 20.6 juta pelawat dalam tempoh yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement