[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Unifi Business bantu PMKS tingkatkan daya saing melalui digitalisasi

Nabilah Khaleeda 06/10/2025 | 07:34 MYT
Nazlina Othman (tiga dari kanan) dan Penolong Kanan Naib Presiden Kandungan Berjenama Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin (tengah) bergambar bersama usahawan-usahawan tempatan.
MELAKA: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia disaran segera memanfaatkan teknologi digital agar kekal berdaya saing dalam ekonomi yang semakin dipacu teknologi.


Ringkasan AI
  • PMKS disaran segera manfaatkan teknologi digital untuk kekal berdaya saing, dengan potensi peningkatan hasil dan peluang pekerjaan.
  • Unifi Business memperkenalkan IMPAK BIZ sebagai penilaian kematangan digital percuma dengan sokongan pakar dan rakan strategik.
  • Kajian menunjukkan penggunaan AI meningkatkan kecekapan perniagaan, dengan kisah kejayaan seperti Cendol Kampung Hulu dan Kambing Yang Aneh sebagai bukti keberkesanan digitalisasi.


Pengurus Besar Penyelesaian Perniagaan Unifi Business, Nazlina Othman, berkata PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara dengan menyumbang hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hampir separuh tenaga kerja negara.

“Pendigitalan bukan lagi pilihan tetapi keperluan.

“Kajian Bank Dunia menunjukkan PMKS yang menggunakan teknologi digital berpeluang 2.5 kali meningkatkan hasil dan 1.8 kali menambah pekerjaan,” katanya ketika ditemui pada program Jiwa SME, di Bandaraya Melaka.

Nazlina melawat sekitar reruai yang mengambil bahagian dalam acara Jiwa SME 2025 di Melaka.


Bagi mempercepatkan transformasi ini, Unifi Business memperkenalkan IMPAK BIZ, iaitu penilaian kematangan digital percuma yang dilengkapi khidmat nasihat pakar dan akses kepada rakan strategik.

Walaupun kesedaran meningkat, tahap pelaksanaan masih rendah.

Kajian SME Corp (2023) mendapati 92 peratus PMKS sedar kepentingan digitalisasi, namun hanya 44 peratus melangkaui penggunaan media sosial.

“Kurang daripada 20 peratus pula menggunakan analitik data, automasi atau kecerdasan buatan (AI).

“Ramai menganggap digitalisasi mahal dan rumit, sedangkan kini ada penyelesaian mampu milik dan mudah digunakan,” jelas Nazlina.

AI semakin relevan dalam operasi perniagaan termasuk khidmat pelanggan, pemasaran dan pengurusan inventori.

Kajian PwC Malaysia 2024 mendapati 48 peratus PKS yang menggunakan AI mencatat peningkatan kecekapan antara 20 hingga 40 peratus.

Nazlina turut menekankan kisah kejayaan seperti Cendol Kampung Hulu yang meningkatkan jualan 30 peratus selepas menggunakan sistem digital, serta Kambing Yang Aneh yang melonjak tempahan hingga 60 peratus hasil pemasaran digital.

Beliau berpesan agar PMKS tidak menunggu terlalu lama untuk berubah.

 Nazlina ketika ditemu bual oleh wartawan, Nabilah Khaleeda untuk program Niaga AWANI.


“Mulakan sekarang, bukan esok. Fahami tahap semasa perniagaan anda dan gunakan sokongan yang ada melalui IMPAK BIZ, Unifi Business Club atau inisiatif kerajaan.

“Digital adalah langkah pertama, keyakinan adalah lompatan sebenar,” katanya.




#impak biz #PMKS #unifi Business #teknologi digital