BISNES

Unit PETRONAS terima permit penilaian CCS luar pesisir pertama di Malaysia

Bernama 10/11/2025 | 07:30 MYT
PETRONAS berkata pengeluaran permit itu menandakan langkah penting dalam membangunkan industri CCS Malaysia, meletakkan negara sebagai peneraju serantau dalam kerjasama CO2 rentas sempadan dan peralihan tenaga yang bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh PETRONAS, PETRONAS CCS Ventures Sdn Bhd (PCCSV) menerima permit penilaian luar pesisir bagi pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di kawasan Duyong oleh agensi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon Malaysia, MyCCUS.

Menurut syarikat minyak dan gas nasional berkenaan, permit itu adalah permit pertama yang dikeluarkan di bawah Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon [Akta 870] (Akta CCUS 2025) yang baru dikuatkuasakan pada 1 Okt 2025 sekali gus menandakan pencapaian bersejarah bagi sektor tenaga Malaysia.

"Permit penilaian luar pesisir ini memberikan hak eksklusif untuk menjalankan penilaian geologi luar pesisir yang menyeluruh di medan Duyong, yang terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PCCSV Emry Hisham Yusoff berkata permit penilaian luar pesisir itu adalah pencapaian penting bagi projek CCS Duyong.

"Permit ini membolehkan kerjasama kami dengan TotalEnergies dan MITSUI melangkah ke fasa seterusnya dalam kajian teknikal dan penilaian, membawa kami lebih dekat untuk merealisasikan potensi Duyong sebagai tapak penyimpanan karbon dioksida (CO2) yang selamat dan berdaya maju secara komersial.

"Ini mengukuhkan lagi komitmen PETRONAS terhadap usaha pengurangan pelepasan karbon dan menyediakan penyelesaian penyahkarbonan kepada pelanggan serta rakan kongsi kami," katanya.

Menurut PETRONAS, semua aktiviti penilaian akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Akta CCUS 2025 dan Peraturan Permit dan Pelesenan Luar Pesisir 2025, mematuhi undang-undang negara serta garis panduan yang berkaitan bagi menentukan kebolehlaksanaan teknikal dan komersial tapak berkenaan.

"KPA membolehkan PCCSV, TotalEnergies dan MITSUI menyediakan asas bagi pelaksanaan fasa reka bentuk awal kejuruteraan bagi kawasan Duyong.

"Kerjasama ini membuka peluang kepada penyelesaian CCS bersepadu yang pertama seumpamanya bagi industri di rantau Asia Pasifik.

"Perjanjian itu juga memperkukuh inisiatif yang digariskan dalam Perjanjian Pembangunan CCS yang dimeterai oleh PETRONAS, TotalEnergies dan MITSUI pada 2023," katanya.

PETRONAS berkata pengeluaran permit itu menandakan langkah penting dalam membangunkan industri CCS Malaysia, meletakkan negara sebagai peneraju serantau dalam kerjasama CO2 rentas sempadan dan peralihan tenaga yang bertanggungjawab.

"Pencapaian penting ini memperkukuh kepimpinan PETRONAS dalam teknologi rendah karbon dan komitmennya melalui PCCSV untuk membangunkan CCS sebagai laluan utama ke arah sifar bersih menjelang 2050, menyokong matlamat iklim serantau dan global," katanya.

-- BERNAMA


#Petronas #PCCSV #permit penilaian CCS #Malaysia