KUALA LUMPUR: Kedudukan pasaran buruh negara diunjur terus mengukuh pada suku keempat tahun ini dengan kadar pengangguran dijangka terus berkurangan daripada purata 4.67 peratus pada suku ketiga kepada 4.31 peratus pada suku keempat 2021.

Unjuran itu terkandung dalam laporan "Quarterly Labour Market Perspectives - A Sign of Labour Market Rebound" yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA).

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam kenyataan berkata laporan suku tahunan itu juga menjangkakan kadar kehilangan pekerjaan (LOE) akan berkurangan daripada 15,753 orang pada suku ketiga kepada 12,105 orang pada suku keempat.

"Perkeso melalui EU-ERA juga menganggarkan kadar pengangguran 2022 akan berada pada sekitar paras antara 4.0 sehingga 4.1 jika Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang pada kadar antara 5.5 hingga 6.5 peratus," katanya.

Beliau berkata sepanjang suku ketiga tahun ini, pasaran buruh negara mengalami pemulihan berterusan berikutan langkah kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan serta memberi kebenaran kepada pembukaan semula sektor ekonomi.

Dalam pada itu, kadar pengangguran menunjukkan trend menurun secara berterusan daripada 4.84 peratus pada Julai kepada 4.64 peratus pada Ogos dan dijangka mencapai 4.54 peratus pada September 2021 manakala LOE juga stabil pada 15,753 orang pada suku ketiga 2021.

Menurut laporan tersebut juga, pada suku ketiga 2021, pasaran kerja didapati masih kekal bercirikan 'trapezoid' yang mencerminkan ketidakseimbangan di antara pencari kerja dan peluang pekerjaan namun pemulihan pasaran buruh pada suku itu dijangka akan mengurangkan jurang tersebut.

Sementara itu, Perkeso juga mendapati kedudukan pasaran buruh sehingga akhir tahun ini masih memerlukan sokongan dan intervensi berterusan agar kadar pengangguran dan kehilangan pekerjaan dapat dikurangkan.

"Inisiatif dan insentif ke atas penciptaan dan pengekalan pekerjaan yang diumumkan oleh kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2022 yang lalu adalah bertepatan dan selari dengan pemulihan yang diperlukan oleh pasaran buruh," katanya.

Laporan penuh boleh didapati di laman sesawang https://eiscentre.perkeso.gov.my.

-- BERNAMA