BISNES
UNM sumbang pertumbuhan ekonomi Malaysia

Dari kiri: David FitzPatrick, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Ts Mustapha Sakmud, Pengerusi Boustead Holdings Berhad Tan Sri Abu Bakar Haji Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Suruhanjaya Tinggi British, David Wallace. -Foto UNM
KUALA LUMPUR: Penubuhan University of Nottingham Malaysia (UNM) 25 tahun lalu menjadi titik tolak kepada era baharu pendidikan tinggi rentas sempadan, sekali gus menjadikan institusi itu antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ringkasan AI
- University of Nottingham Malaysia (UNM) menyambut ulang tahun ke-25 sebagai pelopor pendidikan tinggi rentas sempadan, dengan impak besar dalam pendidikan, inovasi dan pembangunan komuniti sejak penubuhannya pada tahun 2000.
- UNM telah menyumbang hampir RM30.5 bilion kepada ekonomi Malaysia dalam tempoh 10 tahun melalui perbelanjaan institusi dan pelajar, penciptaan pekerjaan, serta kelebihan pendapatan graduan, termasuk RM73 juta impak ekonomi domestik pada tahun 2024.
- Universiti ini juga menyalurkan RM87 juta dalam bentuk biasiswa sejak 2020 dan komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan serta industri bagi memperkukuh Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

Profesor David FitzPatrick ketika menyampaikan ucapan beliau sempena sambutan Ulang Tahun ke-25 universiti, menyoroti legasi impak UNM dan komitmen masa depan terhadap pendidikan, inovasi, dan komuniti. - Foto UNM
Provost dan Ketua Pegawai Eksekutif UNM, Profesor David FitzPatrick berkata, sejak ditubuhkan, universiti itu memberi impak besar dalam tiga aspek utama membentuk landskap pendidikan tinggi, memperluas akses kepada pengajian berkualiti, serta menjana nilai ekonomi kepada Malaysia.UNM menekankan impak melalui pendidikan berasaskan penyelidikan, di mana majoriti tenaga pengajarnya aktif dalam penyelidikan dan membawa penemuan terkini terus ke dalam pengajaran kepada pelajar.
Komitmen ini membuktikan nilai ekonomi yang dijana adalah signifikan. Tumpuan UNM terhadap penyelidikan dan pertukaran ilmu telah menjana impak ekonomi domestik sebanyak RM73 juta pada tahun 2024.
Kejayaan ini didorong oleh pemerolehan 70 geran penyelidikan baharu sepanjang tahun tersebut, dengan nilai keseluruhan mencecah RM16 juta.
“Dalam melihat tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kami menganggarkan bahawa University of Nottingham Malaysia telah menyumbang hampir RM30.5 bilion nilai ekonomi kepada Malaysia yang didorong oleh perbelanjaan institusi dan pelajar, penciptaan pekerjaan, serta kelebihan pendapatan graduannya melalui kerja kami, hasil kerja graduan kami, dan kejayaan yang mereka capai,” katanya.
Kehadiran dan aktiviti UNM pada tahun 2024 sahaja telah menyumbang kepada pewujudan dan sokongan lebih 19,000 pekerjaan untuk negara.

Datuk Ts Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, memuji sumbangan universiti itu terhadap pendidikan dan inovasi ketika menyampaikan ucapan di sambutan Ulang Tahun ke-25 Universiti Nottingham Malaysia. - Foto UNM
Dalam aspek pembangunan sosial, universiti itu turut menyalurkan RM87 juta dalam bentuk biasiswa sejak tahun 2020 yang telah memanfaatkan lebih 2,300 pelajar termasuk dalam kalangan pelarian dan keluarga berpendapatan rendah.
Penubuhan kampus cawangan British pertama di Malaysia oleh UNM pada tahun 2000 juga membuka jalan kepada institusi pendidikan antarabangsa lain, sekali gus membentuk landskap pendidikan tinggi transnasional yang lebih kompetitif.
“Langkah awal kami membuka kampus di Malaysia telah menjadi pemangkin kepada kewujudan persekitaran pendidikan bertaraf dunia, yang kemudiannya membuka peluang kepada banyak institusi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sambutan Majlis Ulang Tahun ke-25 University of Nottingham Malaysia pada Khamis.
Dalam pada itu, UNM kini komited untuk meneruskan kerjasama rapat dengan pihak kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta rakan industri bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.
Antara inisiatif yang diteruskan termasuk mewujudkan peluang mobiliti pelajar antara kampus di Malaysia, United Kingdom dan China, bagi melahirkan graduan yang seimbang secara global dan memenuhi keperluan pasaran kerja tempatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami