KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih MY EG Services Bhd pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 merosot kepada RM120 juta daripada RM150.71 juta dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Bagaimanapun, perolehan pada suku tahun tersebut naik 19.37 peratus kepada RM194.12 juta daripada RM162.62 juta sebelum ini.

"Peningkatan perolehan sebanyak RM31.50 juta itu adalah hasil sumbangan daripada perkhidmatan yang baru dilancarkan daripada platform blockchain Zetrix kami dan sumbangan daripada penjualan token Zetrix," menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Keuntungan bersih untuk tempoh sembilan bulan meningkat kepada RM337.49 juta daripada RM323.97 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas dengan perolehan lebih tinggi sebanyak RM552.22 juta daripada RM486.18 juta.

Mengenai prospek masa depannya, MyEG berkata untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (tahun kewangan 2023), MYEG menjangka untuk terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif dengan memanfaatkan teknologi baharu, terutamanya blockchain atau Web 3.0, memacu pertumbuhan organiknya secara global pada tahun kewangan 2023.

"Dengan platform blockchain Layer 1 iaitu Zetrix secara dalam talian, terdapat potensi besar untuk MYEG mengkomersialkan perkhidmatan inovatif apabila Web 3.0 mula diterima pakai secara meluas.

"Zetrix juga telah disepadukan dengan platform blockchain nasional China, iaitu 'Xing Huo' yang akan memudahkan perdagangan rentas sempadan dan ia akan menjadi langkah kumpulan ke pasaran global," katanya.

-- BERNAMA