BISNES

Untung bersih PETRONAS Dagangan suku kedua susut kepada RM265.5 juta susulan margin lemah

Bernama 25/08/2025 | 07:16 MYT
PDB mengisytiharkan dividen interim sebanyak 22.0 sen sesaham biasa bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2025.
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) merosot kepada RM265.53 juta pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2025 daripada RM276.39 juta pada tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh margin yang lebih lemah.


Ringkasan AI
  • PETRONAS Dagangan mencatatkan penurunan keuntungan bersih kepada RM265.53 juta dan perolehan kepada RM9.07 bilion akibat margin yang lebih lemah dan penurunan harga jualan.
  • Walaupun perolehan susut, keuntungan bersih separuh pertama meningkat kepada RM559.03 juta, menunjukkan prestasi keseluruhan yang stabil.
  • PDB akan terus melaksanakan strategi proaktif, mengekalkan disiplin kos, dan membina perniagaan yang berorientasikan pelanggan melalui pelaburan dan pengalaman yang berbeza.


Perolehan bagi suku berkenaan menurun kepada RM9.07 bilion daripada RM9.84 bilion, mencerminkan penurunan 4.0 peratus dalam purata harga jualan dan penurunan 1.0 peratus dalam jumlah jualan.

Bagi separuh pertama tahun ini, PDB mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM559.03 juta, meningkat daripada RM502.43 juta pada tahun sebelumnya walaupun perolehan susut kepada RM18.16 bilion daripada RM19.23 bilion.

PDB mengisytiharkan dividen interim sebanyak 22.0 sen sesaham biasa bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2025.

"Kumpulan akan terus memantau dinamika pasaran selain melaksanakan strategi yang relevan secara proaktif sambil kekal berwaspada terhadap kos bagi meredakan kesan ketidaktentuan pasaran," kata PDB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani berkata, mengharungi suku kedua memerlukan disiplin dan ketelitian selain melaksanakan dengan penuh tumpuan pada cara setiap segmen yang menyumbang nilai.

"Perniagaan komersial kekal kukuh dengan sentiasa memenuhi permintaan manakala peruncitan sedang dibangunkan untuk jangka panjang melalui pelaburan yang disasarkan, penglibatan berasaskan kesetiaan dan pengalaman pelanggan yang berbeza.

"Matlamatnya iaitu untuk membina perniagaan yang berjaya sekarang dan bersedia untuk masa hadapan," tambahnya.

Memandang ke hadapan, Azrul berkata tumpuan PDB iaitu untuk membina perniagaan yang mendapat tempat di hati pelanggan setiap hari.

"Ini bermakna membuat pilihan yang bijak, kekal fleksibel serta memastikan pertumbuhan kami dapat memberi nilai yang berkekalan dengan cara yang memudahkan dan memperbaiki kehidupan pelanggan kami," katanya.

-- BERNAMA



#keuntungan bersih #PETRONAS DAGANGAN #susut #margin lemah