KUALA LUMPUR: Untung bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi suku ketiga (S3) berakhir 30 Sept, 2023, merosot kepada RM856.20 juta daripada RM888.90 juta dalam tempoh yang sama setahun lalu.

Bagaimanapun, hasil bagi suku dalam tinjauan meningkat 3.9 peratus kepada RM13.47 bilion daripada RM12.96 bilion tahun lepas.

Syarikat utiliti tenaga itu mengaitkan hasil yang bertambah baik disebabkan jualan elektrik yang lebih tinggi.

"Keuntungan selepas cukai bagi suku semasa berkurangan sebanyak RM95.3 juta, atau 9.8 peratus, daripada RM972.7 juta pada suku yang sama setahun lalu kepada RM877.4 juta.

"Ini disebabkan margin bahan api yang negatif dan diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah serta keuntungan yang diterjemahkan dalam pertukaran asing," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih TNB jatuh kepada RM2.19 bilion daripada RM2.65 bilion dalam tempoh yang sama setahun lalu.

Mengenai unjuran, TNB berkata kumpulan itu melaporkan prestasi yang saksama dengan hutang dan kedudukan modal kerja bertambah baik, disokong oleh kadar kutipan yang baik dan tekanan ke atas harga arang batu yang berkurangan.

"Memandangkan ekonomi keseluruhan diunjurkan berkembang pada empat peratus tahun ini, kumpulan menjangkakan prestasi yang stabil dan akan terus berhati-hati terhadap kesan harga bahan api dan turun naik mata wang terhadap pendapatannya.

"Kumpulan akan terus mengambil langkah-langkah berhemat dalam menguruskan keperluan operasi dan kewangannya bagi memastikan ia kekal berdaya tahan," tambahnya.

-- BERNAMA