KUALA LUMPUR: UOB Malaysia telah menerima kelulusan kawal selia dari Bank Negara Malaysia untuk mengambil alih perniagaan penggunaan daripada Citi Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua bank tersebut akan memohon Perintah Letak Hak daripada Mahkamah Tinggi Malaya untuk memindahkan aset dan liabiliti perbankan pengguna Citi kepada UOB Malaysia.

Pengambilalihan tersebut, menurut kenyataan itu lagi, dijangka selesai pada suku keempat 2022.

“UOB dan Citigroup mengumumkan cadangan pengambilalihan ini pada 14 Januari 2022. Selepas selesai pengambilalihan, semua perniagaan perbankan runcit dan kad kredit pengguna Citi Malaysia akan dipindahkan ke UOB Malaysia.

“Semua kakitangan perbankan pengguna Citi Malaysia yang berkaitan dan juga kakitangan sokongannya juga dijangka akan berpindah ke UOB Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya berbesar hati dengan kelulusan Bank Negara Malaysia untuk pengambilalihan tersebut.

“Selama lebih 70 tahun, UOB telah bergerak maju ke hadapan seiring dengan perkembangan Malaysia dan pengambilalihan ini menekankan lagi keyakinan kami terhadap potensi jangka panjang negara.

“Perniagaan pengguna Citi di Malaysia dan juga di pasaran lain seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam akan memantapkan lagi kedudukan serantau UOB, sekali gus memanfaatkan semua pelanggan UOB dengan menyediakan kesalinghubungan yang lebih baik dan pengiktirafan jenama yang lebih tinggi,” jelas Wei Wei.

Wei Wei berkata, pengambilalihan itu juga bakal meningkatkan skala perniagaan runcit mereka melalui portfolio dan ekosistem rakan kongsi yang diperluaskan.

Selain itu, jangkauan UOB Malaysia kepada pelanggan, katanya lagi, akan diperkukuh melalui rangkaian cawangan dan titik sentuh (touch point) digital yang lebih luas.

“Kami mengalu-alukan kedatangan rakan sekerja Citi ke keluarga UOB. Bersama-sama, kami akan membangunkan nilai jangka panjang untuk asas pelanggan yang lebih besar di Malaysia,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia, Usman Ahmed berkata, pihaknya akan terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan pengguna mereka sehingga proses jualan yang selebihnya dilengkapkan.

Tarikh pemindahan yang sah, katanya, akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Citi kekal komited kepada Malaysia dan akan melabur lebih banyak lagi dalam francais pelanggan institusi terkemuka pasaran kami bagi membantu pelanggan di Malaysia berkembang di dalam dan luar negara.”

"Citi memberi jaminan kepada pelanggan perniagaan perbankan pengguna dan kekayaannya bahawa peralihan kepada UOB akan berjalan lancar dan mereka akan terus mendapat manfaat daripada perkhidmatan dan produk yang serupa dengan apa yang dinikmati daripada Citi pada masa ini," kata Usman.