KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik UOB Malaysia dan Invest Selangor Berhad memudah cara kemasukan pelaburan melebihi RM3 bilion ke Selangor bagi menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi dan transformasi ekonomi negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaburan itu menyokong aspirasi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) untuk meningkatkan keupayaan perniagaan tempatan serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi bagi golongan muda.
“Saya mengalu-alukan peranan UOB Malaysia sebagai rakan strategik yang dipercayai dalam mempertingkatkan pelaburan ke Selangor. Cabaran kita pada hari ini bukanlah kekurangan modal, tetapi bagaimana modal tersebut disalurkan.
“Perniagaan memerlukan akses kepada pembiayaan untuk melangkah ke tahap seterusnya, memaksimumkan rantaian bekalan sedia ada sambil membangunkan rantaian bekalan baharu yang lebih berdaya tahan.
“Langkah terbaharu ini berjaya mengatasi cabaran tersebut dan amat selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Kedua, yang bertujuan meningkatkan keupayaan perniagaan tempatan serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk golongan muda. Ini merupakan strategi paling mampan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, empat syarikat mengemukakan surat hasrat pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026.
Cadangan pelaburan berkenaan merangkumi sektor infrastruktur digital, sains hayat, pembuatan termaju dan tenaga baharu, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan serta ekosistem perniagaan Selangor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Datuk Ng Wei Wei berkata, kerjasama berkenaan menyokong usaha bank itu menghubungkan pelabur antarabangsa dengan peluang perniagaan di negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
“Pelaburan yang diumumkan hari ini, termasuk empat surat hasrat yang dikemukakan, merupakan hasil langsung kerjasama strategik kami dengan Invest Selangor.
“Usaha tersebut memperlihatkan komitmen UOB dalam menghubungkan pelabur antarabangsa dengan peluang di rantau ASEAN, membantu mereka menembusi pasaran baharu, dan memupuk perkongsian yang berkekalan.
“Melangkaui nilai pelaburan yang diumumkan, pelaburan berkenaan dijangka menjana manfaat ekonomi yang lebih luas menerusi pemindahan teknologi, pembangunan bakat, dan peluang rantaian bekalan bagi perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” ujarnya.
Antara syarikat yang terlibat ialah Galaxy DC Pte Ltd, pemaju infrastruktur pusat data hiperskala yang memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan.
Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn Bhd pula merancang membangunkan kemudahan pemprosesan mendalam jagung dan pengeluaran ramuan khusus berskala besar di Selangor bagi menghasilkan produk berasaskan kanji, pemanis serta produk nilai tambah lain.
Turut mengemukakan surat hasrat ialah Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co Ltd, pengeluar pemangkin kawalan pelepasan bagi sektor automotif dan perindustrian yang menyokong pertumbuhan ekosistem kenderaan tenaga baharu Malaysia.
Selain itu, XTC New Energy Materials (Xiamen) Co Ltd terbabit dalam pengeluaran bahan bateri termaju yang menyokong rantaian nilai kenderaan elektrik dan penyimpanan tenaga.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari berkata, kerjasama dengan UOB Malaysia membolehkan agensi berkenaan mendekati lebih ramai pelabur antarabangsa serta memudah cara pelaburan yang selaras dengan keutamaan pembangunan negeri.
“Pelaburan ini membuktikan kekuatan ekosistem perindustrian, kesalinghubungan, kumpulan bakat serta persekitaran mesra perniagaan di Selangor.
“Melalui kerjasama dengan UOB Malaysia, kami dapat mendekati lebih ramai pelabur antarabangsa serta memudah cara pelaburan yang menepati keutamaan pembangunan strategik Selangor.
“Selain sumbangan langsung dari segi nilai pelaburan, projek-projek ini dijangka memperkukuh keupayaan industri tempatan dan memantapkan kedudukan Selangor sebagai hab industri bernilai tinggi,” jelasnya.
Keempat-empat surat hasrat itu merupakan hasil langsung kerjasama strategik sektor awam dan swasta antara UOB Malaysia dengan Invest Selangor yang dimeterai pada November 2025.
Kerjasama tersebut bertujuan menarik pelaburan global ke Selangor, memudah cara kemasukan syarikat multinasional ke pasaran serta menyokong pembangunan industri masa hadapan di negeri itu.