BUKIT MERTAJAM: Segmen 'Saya Jual' program jelajah Jiwa SME di Pulau Pinang mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta.

Menerusi segmen 'Saya Jual' 14 peserta terdiri daripada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berkongsi idea perniagaan yang paling kreatif.

Pada segmen itu, usahawan produk makanan kembara Ready To Eat, Datin Zamzarina Zambri dari Studio One Creative, muncul sebagai pemenang utama kategori Penyertaan Terbaik idea perniagaan paling kreatif.

Beliau berkata banyak ilmu dapat diperolehi sepanjang jelajah Jiwa SME diadakan malah kemenangan hari ini memberi semangat untuknya terus maju di dalam perniagaannya.

"Bagi saya ini satu sesi di mana semua usahawan harus ambil peluang dan sertai program sebegini khususnya jelajah Jiwa SME ini.

"Usahawan kita semua jangan takut, jangan malu, join sahaja kalau ada karnival jelajah keusahawanan yang seperti ini, ia satu peluang untuk kita bagi kesedaran kepada masyarakat tentang produk kita untuk kita pergi lebih jauh dalam dunia perniagaan selepas ini," kata Zamzarina.

Bagi kategori Penyertaan Berpotensi pula di menangi oleh Muhammad Haziq Abdul Wahid dari Servis Urus Meniaga Online ( SUMO) dan  Halipah Yusup dari Ainazs Foods.

Muhammad Haziq berkata, program dan siri jelajah JIWA SME ini sangat bagus dan memberi banyak ilmu pengetahuan untuk usahawan mendalami ilmu perniagaan .

"Program dua hari ini amat berguna, apa yang Jiwa SME buat adalah sesuatu yang sangat bagus kerana kebanyakan acara lain di luar sana dia tak ada yang macam ini (beri pendedahan ilmu perkongsian).

"Dia bukan fokus kepada penjual tetapi lebih kepada 'how to expose' kita punya bisnes," kata Muhammad Haziq.

Turut senada ialah Halipah Yusu, di mana dia berharap program sebegini akan diteruskan di masa hadapan.

"Saya sangat suka tentang program JIWA SME ini sebab program ini dia memahami jiwa seorang usahawan.

"Jadi bila dua hari diadakan di sini, saya datang mendengar kursus yang diberikan dan dari situ saya belajar tentang ilmu yang baru," ujar Halipah.

Pemenang segmen 'Saya Jual' menerima sijil penghargaan daripada pihak Bank Rakyat dan pendedahan untuk berkongsi mengenai perniagaan di khalayak ramai.

Jelajah Jiwa SME di Pulau Pinang

Segmen 'Saya Jual' dibawakan oleh Bank Rakyat menampilkan Naib Presiden Kanan, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) & Koperasi, Bank Rakyat, Tun Yazli Hismul Asri Yaacob; Penolong Naib Presiden Kandungan Berjenama Astro AWANI, Cherish Leow; dan Sam Bahren, Brand Consultant People’s Brand Agency sebagai juri segmen tersebut.

Dalam pada itu, Tun Yazli Hismul Asri Yaacob memaklumkan bahawa pihaknya komited membantu melahirkan lebih ramai usahawan tempatan pada masa akan datang.

Jelasnya, Bank Rakyat memperkenalkan program pembiayaan terbaharu iaitu BRPlus-i  dalam menyokong pembangunan usahawan negara khususnya daripada sektor PMKS, koperasi dan usahawan wanita bagi memajukan perniagaan mereka.

"Melalui produk pembiayaan ini, bank menawarkan had pembiayaan yang istimewa iaitu daripada RM5,000 sehingga RM1,000,000 dengan kadar keuntungan kompetitif melalui peruntukan dana keseluruhan sebanyak RM500 juta.

"Selain itu, pakej BR Plus- i Biz Lady juga diperkenalkan khusus untuk usahawan wanita.

"Jadi kepada usahawan saya rasa ambil lah peluang terbaik kali ini, datanglah kepada Bank rakyat, bank pilihan anda," katanya.

Siri jelajah SME Pulau Pinang berlangsung di AEON Mall Bukit Mertajam pada 21 dan 22 Oktober menampilkan perkongsian daripada pakar industri dan usahawan PMKS.

Lebih istimewa, acara itu turut menyediakan bengkel ilmu, bukan sahaja kepada usahawan malah kepada pengunjung serta pelbagai program menarik seperi 'Saya Jual' dan 'Santai Namun Sampai'.

Siri Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI mendapat kerjasama antaranya Unifi Business selaku penaja utama, Bank Rakyat selaku penaja segmen 'Saya Jual' dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai rakan strategik.

Selepas Pulau Pinang, Jelajah Jiwa SME bakal bertemu PMKS di Wilayah Persekutan pada 24 hingga 26 November 2023 ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jelajah Jiwa SME oleh Astro AWANI, layari www.jiwasme.com.my.