JAKARTA: Firma Malaysia, VERITAS Design Group telah mengemukakan lakaran lukisan bagi bangunan perundangan dan kehakiman Indonesia di ibu negara baharu, Nusantara di Kalimantan.

Malah, pada masa ini, kumpulan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur itu sedang menunggu keputusan bagi pemilihan berkenaan, kata Presidennya, David Mizan Hashim kepada pemberita pada majlis makan tengah hari Jaringan Perniagaan Malaysia-Indonesia yang dihoskan oleh syarikat itu dan disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di sini, pada Sabtu.

"Kami masih belum tahu (keputusannya) dan ada banyak syarikat yang telah disenarai pendek. Kami hanya mampu berharap dan berdoa.

"Sepertimana pertandingan membabitkan Nusantara, kami tidak jangka akan menang... namun akhirnya sebuah syarikat Malaysia berjaya memenanginya," katanya ketika diminta mengulas mengenai peluang memenangi bidaan terbabit.

Pada 20 Dis, 2019, VERITAS menerusi kerjasama dengan PT Mitra Adhi Reka Utama, berjaya meraih kedudukan tiga teratas dalam pertandingan reka bentuk bagi pelan induk Nusantara yang disertai oleh 292 pembida tempatan dan antarabangsa.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1987 itu mempunyai tiga pejabat di Malaysia, termasuk ibu pejabat selain enam pejabat di peringkat global.

Antara projeknya di Malaysia adalah stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kuala Lumpur, Laman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menara Etiqa, Menara Binjai dan Hotel W Kuala Lumpur.

Mengulas perolehan pendapatan, David berkata kumpulan itu menyasarkan sejumlah RM80 juta bagi tahun ini, didorong oleh projek-projek infrastruktur dan dijangka meningkat 10-20 peratus pada tahun depan.

"Kami banyak terbabit dalam projek-projek infrastruktur seperti MRT. Bagi saya, ia akan menjadi satu tahun yang agak baik," katanya.

Sementara itu, Penasihat VERITAS, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata syarikat-syarikat Malaysia kini telah mula lebih yakin untuk turut serta dalam pembangunan Nusantara selepas sesi interaksi pada majlis semalam.

"Terdahulu, telah dimaklumkan bahawa Kementerian Investasi Indonesia melalui Badan Koordinasi Penanaman Modal sedang menunggu dan akan mencari jalan bagi memberi kemudahan pelaburan khususnya dari Malaysia," kata beliau.

-- BERNAMA