KUALA LUMPUR: Kumpulan perbankan Citi hari ini mengumumkan pelantikan Vikram Singh sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Citi Malaysia berkuat kuasa pada 1 Mei, 2023.

Vikram akan bertanggungjawab mengetuai pasukan francais Malaysia, memanfaatkan kekuatan global Citi dan meningkatkan lagi kedudukan sebagai bank terkemuka dan sebagai majikan pilihan, kata Citi dalam satu kenyataan.

"Beliau akan turut menyelia Pusat Penyelesaian Citi di Malaysia," kata kumpulan perbankan itu.

Ketua Citi Asia Selatan dan Asean Amol Gupte berkata Malaysia merupakan pasaran utama Citi dengan institusi francais yang kukuh.

"Vikram mempunyai kerjaya serta pengalaman lama dengan firma itu yang amat bernilai dalam usahanya mengemudi peringkat pertumbuhan berikutnya dalam pasaran yang turut menyokong banyak perniagaan serta fungsi global kami," katanya.

Beliau berkhidmat dengan Citi pada 1999 dan membawa bersama 24 tahun pengalaman dalam perbankan korporat serta menguruskan 18 pasaran di Asia Pasifik.

Citi Malaysia mempunyai francais sepenuhnya yang meliputi perbankan korporat, perbankan komersial, perbendaharaan dan perdagangan, pasaran dan perkhidmatan sekuriti serta perkhidmatan transaksi melalui Pusat Penyelesaian Citi.

Ia telah ditubuhkan di Malaysia pada 1959 dan mempunyai hampir 4,000 pekerja.

-- BERNAMA