KUALA LUMPUR: Mewujudkan peluang pekerjaan adalah satu daripada teras dalam Bajet 2022 terutama ketika ramai rakyat hilang pekerjaan selain berdepan pengurangan gaji disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata satu daripada inisiatif kerajaan membantu mereka adalah dengan memperkenalkan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) yang menyasarkan penciptaan 600,000 peluang pekerjaan.

Katanya, inisiatif JaminKerja itu membabitkan peruntukan RM4.8 billion.

"Berdasarkan rekod, kadar pengangguran sekarang ialah 4.6 peratus, bertambah baik berbanding 5.3 peratus pada Mei tahun lepas tetapi ini masih lagi tinggi.

"Sebab itu kita mengumumkan inisiatif JaminKerja yang menunjukkan kita serius dan fokus dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada semua termasuk belia baru keluar dari universiti," katanya dalam program wawancara khas 'Bajet 2022 Dari Rakyat Untuk Rakyat' yang disiarkan di Bernama TV dan Astro AWANI malam tadi.

Tengku Zafrul berkata setakat Sept lepas, lebih 400,000 pekerjaan baharu telah dicipta dan kerajaan optimis sasaran mewujudkan 500,000 penciptaan pekerjaan tahun ini dapat dicapai.

"Semua inisiatif ini perlu kerana rakyat terjejas teruk akibat pandemik. Hanya penciptaan pekerjaan dapat membantu mereka untuk keluar daripada belenggu ini," katanya.

Tengku Zafrul berkata Inisiatif JaminKerja mempunyai beberapa sub program antaranya Insentif Penggajian JaminanKerja melibatkan peruntukan RM2 bilion.

Di bawah inisiatif penggajian ini, beliau berkata jika majikan mengambil mereka yang tidak mempunyai pekerjaan, kerajaan akan memberi beberapa insentif.

"Kita juga menggalakkan majikan memberi peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan banduan, dengan insentif," katanya.

Selain itu, di bawah inisiatif JaminKerja, kerajaan juga akan meneruskan Program MySTEP dengan sasaran 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak, merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai Januari 2022.

-- BERNAMA