BUSINESS
xAI ambil alih X pada nilai AS$33 bilion - Elon Musk
xAI sedia menggunakan data daripada X dalam melatih model kecerdasan buatan mereka, sekali gus menawarkan data masa-nyata pada model mereka. - Foto Amanz
ELON Musk hari ini membuat kejutan, dan mengumumkan firma memfokuskan kecerdasan buatan dibawah beliau, iaitu xAI telah mengambil alih platform media sosial X.
xAI mengambil alih X pada nilai AS$33 bilion. xAI pula dinilaikan sekitar $80 bilion.
Elon Musk turut berkongsi mengatakan X kini mempunyai lebih 600 juta pengguna aktif, dan sedia menjadi lokasi dituju ramai dalam berbincang pelbagai perkara, termasuk isu semasa dalam masa-nyata.
Dengan pengambilalihan ini, pelbagai perkara akan digabungkan, termasuk data, model, bakat dan lain-lain.
xAI sedia menggunakan data daripada X dalam melatih model kecerdasan buatan mereka, sekali gus menawarkan data masa-nyata pada model mereka, salah satu kekangan yang dihadapi oleh pembangun kecerdasan buatan lain.
Kita mungkin melihat integrasi lebih mendalam hasil pengambilalihan ini.
Sebelum ini, pada 2022 yang lepas, Elon Musk telah mengambil alih Twitter, dan seterusnya mengubah namanya kepada X. Ketika itu, ia dinilaikan sekitar $44 bilion.